‘Kantoi’ hidangan haram
Penipuan lelaki menyamar putera Arab Saudi terbongkar selepas menjamah daging babi ketika mesyuarat perniagaan
Penipuan seorang lelaki yang menyamar sebagai putera Arab Saudi dan memperdaya jutaan wang pelabur kaya di seluruh dunia akhirnya terbongkar selepas membuat kesilapan menjamah daging babi pada satu mesyuarat perniagaan.
Anthony Gignac yang berasal dari Colombia dikatakan mula melakukan kegiatan itu sejak 2015 dengan mewujudkan syarikat pelaburan tipu, Marden Williams International kononnya bertujuan mencari peluang pelaburan dalam perniagaan.
Menggunakan pelbagai nama samaran, dia kemudiannya menyamar sebagai putera Arab Saudi selama dua tahun dan berjaya menipu 26 mangsa dari seluruh dunia membabitkan jumlah bernilai lebih AS$8 juta (RM32 juta).
Dia turut membeli nombor plet diplomatik palsu dari laman eBay dan meletakkan perkataan ‘Sultan’ pada plet pintu rumah emper serta rumah agam yang menjadi lokasinya menjerat mangsa yang rata-rata menyangkakan dia putera.
Penyamaran antara 2015 hingga 2017 itu menyebabkan dia berjaya mengumpul jutaan dolar di dalam akaunnya, selain memiliki kereta mewah termasuk Ferrari dan Rolls Royce, jam Rolex, barangan kemas mewah serta sebuah kondo dua bilik ekslusif di Pulau Fisher di Biscayne Bay.
Dia juga sering menunjukkan kekayaan yang dimiliki di Instagram dan walaupun tidak menunjukkan wajahnya tetapi kadangkala memuat naik gambar wajah persis kerabat Arab.
Rakan subahatnya turut mendakwa dia ahli keluarga diraja itu dan mempunyai perjanjian perniagaan eksklusif.
Gignac turut menggunakan surat palsu dari Bank of Dubai sebagai bukti dia mempunyai jutaan dolar yang boleh digunakan untuk projek dilaksanakan mangsanya.
Pihak berkuasa yang kemudiannya dimaklumkan mengenai kegiatannya itu menyebabkan dia ditahan pada November 2017.
Gignac yang berada di pusat tahanan Miami sejak November tahun lalu bakal dihukum, bulan depan atas kesalahan menyamar sebagai pegawai kerajaan luar negara, mencuri identiti dan menipu.