Liverpool tawar RM283j buat Alisson
Penjaga gol Roma itu turut ditawar tambahan RM23.5 juta lagi
Liverpool dikatakan sudah membuat tawaran sebanyak €60 juta (RM283 juta) dengan tambahan €5 juta (RM23.5 juta) lagi ke atas penjaga gol Roma, Alisson, lapor media Itali, Gazzetta.
Berdasarkan laporan berkenaan, Roma bagaimanapun masih enggan melepaskan pemain itu andai tidak menerima bidaan sebanyak €70 juta (RM330 juta) ke atas penjaga gol Brazil berkenaan.
Kelab Itali itu juga percaya, Chelsea dan Real Madrid juga menaruh minat terhadap penjaga gol itu serta sanggup menawarkan bidaan seperti yang ditetapkan.
Gazzetta melaporkan, Madrid masih lagi menjadi destinasi pilihan Alisson tetapi setakat ini, masih belum ada sebarang berita rasmi yang menyebut kelab juara Eropah itu akan membuat bidaan.
Pemain berusia 25 tahun itu sedang bercuti selepas mewakili negaranya ke Piala Dunia tetapi ejennya berusaha keras memastikan semua pilihan untuk berpindah tetap terbuka luas.
Sebelum ini, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp memberikan sokongan penuh kepada Loris Karius untuk terus bergelar pemain nombor satu musim depan tetapi kesilapan terbaru yang dilakukan pemain itu ketika perlawanan persahabatan menentang Tranmere, mencetuskan khabar angin yang mengatakan dia bakal digantikan.
Malah, sebelum kesilapan yang dilakukan Karius di final Liga Juara-Juara, Liverpool sudah memulakan usaha mencari penjaga gol baru yang akan digunakan musim baru nanti.