BERPISAH JUA...
Album Puncak Kasih terbitan1997 bagaikan ramal bahtera Ziana & Armin
“Saya bukan pendendam. Saya sudah lama maafkan dia. Saya tak pandai nak simpan dendam,” kata penyanyi popular Ziana Zain, 50, yang sah bercerai talak satu dengan Armin Zaharin Ahmad Zambri, 53, di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam di sini, semalam.
Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zin ketika ditemui di pekarangan mahkamah berkata, dia bersyukur kerana semuanya berakhir dengan tenang dan mudah.
“Alhamdulillah, semuanya berakhir dengan lancar dan mudah. Saya sentiasa berdoa kepada Allah supaya diberikan ketenangan jiwa selepas ini.
“Saya juga berdoa dipermudahkan segala urusan saya serta pihak di sebelah sana,” katanya.
Penyanyi itu yang turut mengalirkan air mata ketika ditemubual juga enggan mengulas lanjut mengenai perceraian itu.
“Saya sendiri pun tak dapat tafsirkan air mata saya buat masa ini,” katanya.
Perceraian yang berlaku itu seolah-olah merealisasikan bait-bait lirik lagunya yang popular iaitu ‘Berpisah Jua’ yang dimuatkan dalam album Puncak Kasih yang diterbitkan pada 1997.
Lirik lagu berkenaan dihasilkan Asmin Mudin.
Ziana hadir di mahkamah ditemani adiknya yang juga penyanyi popular, Anuar Zain dan diwakili peguam, Yusfa Hanis Yussoff.
Sebelum itu, Armin, 53, melafazkan cerai terhadap Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana, 50, di hadapan Hakim Syarie Mohd Nizar Mohtar, jam 2.48 petang.
Perceraian itu dibuat mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.
Mohd Nizar dalam penghakimannya berkata, Ziana sebagai plaintif perlu menjalani tempoh edah selama tiga bulan selepas lafaz talak rajie itu.
“Kedua-dua pihak perlu mendaftarkan perceraian mereka di Pejabat Agama Islam Daerah Petaling. Bagi isu hak penjagaan dan lawatan anak-anak, ia perlu difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah.
“Jika ada satu pihak yang menerima hak itu kelak, satu pihak lagi turut mendapat kebenaran menemui anak,” katanya.
Terdahulu, Armin yang berpakaian kemas bersetuju melafazkan talak, namun memohon untuk menemui semua anaknya.
Sementara itu, Anuar ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada peminat dan rakan media yang mendoakan kakaknya sepanjang proses perbicaraan berlangsung.
Pada 28 Jun lalu, mahkamah itu memerintahkan Ziana dan Armin untuk masing-masing melantik hakam berhubung tuntutan perceraian yang difailkan Ziana.
Perintah hakam itu dibuat selepas melihat laporan daripada Jawatankuasa Pendamai yang mendapati wujudnya perbalahan di kedua-dua pihak dalam perkahwinan mereka.
Notis kehadiran turut dikeluarkan kepada Armin se- laku defendan supaya hadir pada tarikh terbabit berikutan ketidakhadirannya atau wakil ketika prosiding itu.
Pada 3 April lalu, Ziana memfailkan tuntutan perceraian di Mahkamah Syariah, namun Armin tidak bersetuju melafazkan cerai dan meminta kes itu dibawa ke Jawatankuasa Pendamai.
Perkahwinan Ziana dan Armin dikurniakan empat anak iaitu Muhammad Aiman, 18, Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.
>>Ziana failkan tuntutan perceraian 3 April lalu di Mahkamah Syariah