Harian Metro

PERMATA HATI IBU AYAH

 Kesolehan anak dan doanya paling kita harapkan

- Penulis ialah pendakwah dan penulis buku

Tataplah seorang demi seorang anak-anak kita. Allahu Akbar! semuanya semakin membesar. Buat ibu, pastinya mereka sering merasakan seperti baru saja melahirkan mereka.

Begitu pantasnya masa menghantar seseorang fasa demi fasa dalam kehidupan. Kita juga akan tiba ke fasa dibaluti kafan.

Saat itu, kesolehan anak dan doanya paling kita harapkan. Hanya itu boleh dibuat teman selain amal soleh dan sedekah yang pernah dihulurkan.

Anak-anak kita akan memasuki alam remaja seterusnya dewasa. Saat itu, kita sudah hilang kesempatan menadah belakang badan untuk menjadi kudanya.

Kita tidak dapat lagi membacakan buku cerita sebelum dia terlena. Kita mahu sangat mengulangi saat itu, tetapi mereka bukan lagi kanak-kanak seperti dulu.

Ketika dewasa, tiada lagi gambar lucu lukisannya yang mahu ditunjukka­n kepada kita dan rengekanny­a meminta susu. Semua saat itu akan tinggal kenangan.

Anak-anak yang semalamnya menangis di muka pintu kerana mahu mengikut kita pergi kerja, kini membuatkan kita pula menangis kerana merindui kepulangan­nya.

Setiap insan bergilir-gilir melalui hari suka dukanya. Seorang anak yang baru lahir sangat memerlukan ibu bapanya.

Dia bergantung sepenuhnya kepada kita. Bukan setakat masa berkualiti, tetapi sebanyak-banyaknya masa yang mampu kita luangkan.

Walaupun bayi belum mengerti, namun dia pasti dapat merasai pelukan ibu sedekat-dekatnya untuk menyuakan susu terbaik di dunia buatnya.

Tiada pengganti yang boleh menandingi keajaiban susu ibu buat keperluan seorang bayi.

Cerita perhatian seorang ayah saat menyambut kelahirann­ya juga akan sampai jua ke telinganya pada suatu masa.

Dia sangat berbangga mempunyai ayah yang penuh cinta. Setia menemani hari-hari ibunya berpantang. Anak memang terlalu kecil untuk menyaksika­n, tetapi memori yang diciptakan akan tetap memberikan kesan.

Bagaimana pula jika seorang ayah membiarkan isterinya terlantar menanggung kesakitan seorang diri? Ingat, apa jua memori yang melukai hati ibunya, berkemungk­inan besar sampai jua ke telinga anak kita.

Sesibuk mana pun kita meniti alam kerjaya, anak tetap perlukan kebersamaa­an dengan kita. Ketika bersama anak, dia perlukan gurauan, senyuman, ciuman, usapan dan pelukan seikhlasny­a daripada kita.

Wujudkan kebersamaa­n anak-anak dalam sebahagian aktiviti kita antaranya ke masjid dan kedai bersama-sama.

Pasti saat itu akan terngiang-ngiang menjadi kerinduan selama-lamanya. Apabila anak semakin pandai berdikari, semakin lemah posisi kita sebagai tempat pergantung­annya.

Memasuki usia remaja, secara semula jadi anak akan mula mahu kewujudann­ya disedari. Konflik dengan ibu bapa sering terjadi.

Jika sejak kanak-kanak lagi dia sudah terbiasa berkelahi dengan orang tua sendiri, penghormat­an dan kepercayaa­nnya kepada ibu bapa akan hilang.

Kasihan anak kita kerana pada usia remaja juga mereka mula tertarik kepada perhatian kawan-kawan. Tanpa guru yang sabar mengajar, pasti dia akan terbabas landasan.

Tanpa memori keakraban dengan orang tua sejak kecil, anak mula belajar melupakan insan yang dirasakan tidak memerlukan­nya.

Di hatinya, kawan lebih berharga dan lebih mengambil tahu.

Kejantanan dan keayuan anak-anak kita pasti ada peminatnya.

Maka, dakap dan hembuskan doa ke ubun-ubun anak-anak. Usah tunggu sehingga anak kita meningkat remaja apatah lagi dewasa baru berbuat demikian.

Semoga anak yang sering kita doakan itu akan sudi bersujud lama mendoakan ketika kita kaku mengadap Yang Satu nanti.

Dia berdoa sambil menjadi saksi segala usaha yang pernah kita ciptakan untuk berjasa kepadanya. Ini anak soleh yang menjadi harapan kita semua.

 ??  ?? SEMOGA anak yang sentiasa kita doakan sudi doakan kita pula.
SEMOGA anak yang sentiasa kita doakan sudi doakan kita pula.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia