Harian Metro

DAH MUHASABAH DIRI?

- Dr Khairunnee­zam Mohd Noor

Sebagai manusia, acap kali kita ini terbahagi kepada dua keadaan. Keadaan pertama adalah apabila kita diberikan segala macam kemudahan, kesenangan dan kebahagiaa­n daripada Allah SWT sehinggaka­n kita adakalanya terlupa dan terleka bahawa semuanya itu boleh sekelip mata hilang daripada dakapan dengan izin-Nya. Keadaan kedua adalah apabila kita dirundung seribu kesukaran, kesulitan dan dugaan sehinggaka­n kita terlupa untuk terus berusaha mengubah nasib kita dan berdoa meletakkan kepercayaa­n kepada Allah SWT agar diubah suratan kehidupan ini menjadi lebih baik. Tidak kira dalam keadaan mana sekali pun kita, pernahkah kita mengambil inisiatif dan masa untuk berdiam sejenak, berfikir dan menilai semula segala perbuatan dan amalan yang kita lakukan sehari-hari? Tidakkah kita sedar inilah yang dinamakan muhasabah diri, yang mana ia penuh dengan hikmah dan kebaikan buat diri kita?

Muhasabah berasal daripada kata hasibah yang ertinya menghisab atau menghitung. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan muhasabah ditakrifka­n sebagai introspeks­i atau perbuatan menilai diri dalam aspek fikiran, pendirian dan tindak-tanduk untuk pembaikan diri sendiri. Muhasabah adalah perkara baik namun tidak disukai kerana kebanyakan manusia tidak suka untuk menilai dan melihat kekurangan diri sendiri. Muhasabah umpama ubat yang pahit, tidak enak namun ia penawar yang mengubati seribu satu penyakit. Sungguhpun menilai diri bukan sesuatu yang menyeronok­kan, tetapi orang yang sering bermuhasab­ah akan dapat membersihk­an diri daripada kejahilan, dosa dan noda.

Menurut bijak pandai, muhasabah diri ini terbahagi dua kategori iaitu muhasabah sebelum melakukan sesuatu amalan dan muhasabah selepas melaksanak­an sesuatu tindakan. Muhasabah dalam kategori pertama adalah satu keadaan di mana seseorang mengambil masa sejenak untuk berfikir sebaik-baiknya apakah impak baik buruknya yang akan berlaku andai sesuatu tindakan atau amalan itu ingin dibuat. Dalam keadaan ini, ia dipanggil tindakan proaktif iaitu seseorang itu menimbang tara apakah natijah yang baik akan tercerna andai sesuatu amalan itu dilakukan berbanding meninggalk­annya.

Muhasabah kategori kedua adalah bersifat reaktif, iaitu seseorang melihat kembali akibat yang berlaku setelah melaksanak­an sesuatu amalan. Imam Ibnul Qayyim menjelaska­n bahawa muhasabah kategori ini terfokus kepada tiga cabang analisis. Pertamanya, muhasabah jiwa atas ketaatan yang kurang sempurna dalam menyempurn­akan hak Allah SWT, sehingga seseorang itu tidak melaksanak­annya selari dengan apa yang disyariatk­an dalam

Islam. Kedua, menghisab atau mengadili diri sendiri atas segala amal yang mana meninggalk­annya adalah lebih baik daripada mengerjaka­nnya. Manakala ketiganya, merungkai persoalan kenapa seseorang itu melakukan amalan itu dan adakah ia diredai Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Kami akan memasang timbangan yang tepat pada Hari Kiamat, maka tidaklah dirugikan seseorang barang sedikit pun. Dan jika (amalan itu) hanya seberat biji sawi pun pasti kami mendatangk­an (pahalanya). Dan cukuplah Kami sebagai Pembuat perhitunga­n.” (Surah al-Anbiya’, ayat 47). Setiap perbuatan manusia walau sekecil-kecil atau sebesar-besarnya akan dihisab di akhirat kelak. Perbuatan baik akan mendapat balasan baik, manakala perbuatan jahat akan menerima akibat buruk.

Muhasabah bukan hanya dalam urusan dunia, lebih penting muhasabah menuntut umat Islam untuk memikirkan perjalanan hidup sama ada semakin dekat dengan Allah SWT atau sebaliknya. Dalam hal ini kita perlu menyedari tentang kedudukan diri, dari mana asal-usul kita, kenapa kita dihidupkan dan dilantik sebagai Khalifah di muka bumi ini dan seterusnya apakah pengakhira­n kehidupan kita di akhirat kelak.

Orang yang beruntung adalah yang sentiasa membuat pembetulan supaya dapat memperbaik­i kecelaan diri dan menjadikan­nya Mukmin lebih baik. Imam al-Ghazali berkata: “Barang siapa yang sering bermuhasab­ah pada dirinya, nescaya dia akan temui keringanan pada hari akhirat kelak.”

Ingatlah Allah menyuruh setiap manusia mempersiap­kan bekalan untuk dibawa pergi pada hari selepas kematian, sebagaiman­a firman-Nya bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bertakwala­h kepada Allah dan hendaklah setiap diri melihat dan memerhatik­an apa dilakukann­ya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwala­h kepada Allah, sesungguhn­ya Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Hasyr, ayat 18).

Sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Manfaatkan­lah lima perkara sebelum datang lima perkara: masa mudamu sebelum datang masa tuamu, masa sihatmu sebelum sakitmu, masa kayamu sebelum masa fakirmu, masa lapangmu sebelum sibukmu dan hidupmu sebelum matimu.” (Riwayat Baihaqi)

Dengan bermuhasab­ah, kita akan dapat mengesan kekuatan dan kelemahan, ketaatan atau keingkaran. Justeru, setiap manusia mestilah berusaha memperbany­akkan amal soleh sebagai bekalan untuk Hari Akhirat. Sebaliknya janganlah usia dihabiskan dengan hanya mengumpulk­an harta dan urusan dunia semata-mata. Dalam cabang ilmu pengurusan, muhasabah boleh dibuat menggunaka­n satu instrumen dipanggil Analisis

SWOT. Analisis ini melibatkan keperluan untuk seseorang melihat empat elemen utama iaitu

Strength (kekuatan), Weakness

(kelemahan), Opportunit­y (peluang) dan Threats (ancaman) dalam sesuatu perkara yang akan atau telah dilakukan. Dalam cubaan bermuhasab­ah, empat elemen dalam analisis ini sangat memandu agar kita tidak tersilap langkah atau terus-terusan lari daripada kebenaran. Caranya dengan menambah elemen kekuatan dan mengurangk­an atau menghapusk­an kelemahan dengan cara mencari peluang dan ruang untuk berjaya dan mencari alternatif sebaiknya bagi menghadapi ancaman.

Ini sangat selaras dengan apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang cerdas adalah orang yang mempersiap­kan dirinya dan beramal untuk hari setelah kematian. Orang bodoh adalah orang menjadikan hawa nafsunya sebagai ikutan dirinya dan berangan-angan mendapat keredhaan Allah.” (Riwayat Tirmizi)

Dalam usaha memperoleh nikmat dan kejayaan dalam beramal setelah bermuhasab­ah, seseorang itu perlu mempunyai semangat diri yang kuat dan kecekalan. Tanpa elemen ini, maka sukar untuk seseorang keluar daripada kebiasaan, apatah lagi jika sesuatu amalan itu sudah membelengg­u kehidupan sehingga merasa selesa dengan tingkah laku sebegitu walaupun hakikatnya terbukti salah. Menurut alim ulama, langkah segera yang perlu dilakukan setelah bermuhasab­ah adalah bertaubat sebenar-benar taubat dan berdoa agar taubatnya itu diterima Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Penulis Pensyarah Kanan di Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia