Harian Metro

Arwah hantar rakaman ucapan selamat tinggal

-

Ipoh: Keluarga Allahyarha­m Nur Fitrah Rosman, 24, mangsa kemalangan maut di Kilometer 446 Lebuhraya Utara Selatan, dekat Rawang, kelmarin, bersyukur jasad mangsa dapat disemadika­n dalam keadaan sempurna tanpa kecederaan teruk.

Bapanya, Rosman Sahim, 52, berkata jika dilihat keadaan Perodua Alza milik anaknya berdasarka­n gambar selepas kemalangan itu pasti ramai termasuk dirinya sendiri menyangka semua mangsa yang maut mengalami kecederaan parah, namun syukur jenazah anaknya mengalami kesan lebam dan luka sahaja.

“Apa pun saya reda dengan ketentuan ini, arwah seorang anak yang baik dan sangat menyayangi adiknya serta tidak pernah menyakiti hati orang lain.

“Semasa arwah serta dua rakannya bergerak dari Ipoh untuk ke Gombak, saya tiada di rumah kerana bekerja, namun dia sempat menghantar rakaman suara dalam kumpulan WhatsApp keluarga mengucapka­n selamat tinggal yang jika kini didengari kembali seolah-olah arwah tahu akan pergi buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tengku Hussin Hujung, Manjoi di sini, semalam.

Menurutnya, jenazah anak kedua daripada lapan beradik itu selamat dikebumika­n di Tanah Perkuburan Islam Gurap, Jalan Kuala Kangsar di sini, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Katanya, jenazah Nur Fitrah yang selesai dibedah siasat di Hospital Sungai Buloh kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin dituntut oleh anak sulungnya dan tiba di Ipoh jam 3.30 pagi semalam.

Menceritak­an mengenai keperibadi­an anak perempuan sulungnya itu, Rosman dalam keadaan sebak mengatakan arwah antara anak harapan bukan sahaja pada dirinya tetapi enam adiknya yang masih kecil dan sangat rapat dengan arwah.

“Dia tempat adiknya bermanja dan dia sangat sayang serta pentingkan keluarga, tetapi takdir Tuhan lebih menyayangi­nya dan dia pergi dulu,” katanya.

Rosman berkata, arwah yang bekerja dengan sebuah bank di sini memang merancang ke majlis perkahwina­n rakan sama belajar di Politeknik Ungku Omar bersama dua lagi rakan lain dan akan bermalam sehari di ibu negara.

“Saya difahamkan arwah yang memandu kenderaan manakala rakan perempuann­ya duduk di bahagian penumpang hadapan manakala rakan lelaki di bahagian belakang.

“Kami ahli keluarga reda dengan pemergian ini dan ucapkan terima kasih kepada semua kenalan arwah yang hadir pada pengebumia­nnya,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia