REBUT SEMULA GELARAN
Pacquiao tewaskan Matthysse di Arena Axiata
Jaguh tinju Filipina, Manny Pacquiao meraih semula kegemilangannya apabila menewaskan juara welterweight Persatuan Tinju Dunia (WBA) Lucas Matthysse di Arena Axiata, semalam.
Ia kemenangan pertama ikon tinju berusia 39 tahun itu sejak 2009 dengan kemenangan ke atas Matthysse, 35, dari Argentina ditentukan menerusi kiraan technical knockout (TKO).
Tampil dengan persembahan cukup dominan, ia kemenangan ke-60 Pacquiao yang kini turut bergelar senator di negara kelahirannya sepanjang 23 tahun karier tinjunya.
Pacquiao menumbangkan lawannya seawal pusingan ketiga menerusi deretan tumbukan padu yang menyaksikan Matthysse tidak mempunyai jawapan terhadap kepantasannya.
Sekalipun terkenal memiliki tumbukan yang menggerunkan, Matthysse sekali lagi terjatuh pada pusingan kelima.
Justeru apabila kombinasi tumbukan kiri dan kanan Pacquiao sekali lagi menyebabkan Matthysse terduduk buat kali ketiga di pusingan ketujuh, pengadil Kenny Bayless membuat keputusan untuk menghentikan perlawanan.
“Saya terkejut apabila saya dapat melakukan KO ke atasnya dengan agak awal,” kata Pacquiao yang meneruskan rekodnya kepada 60 kemenangan, tujuh kalah dan dua seri.
“Saya juga terkejut apabila dapat menjatuhkannya pada pusingan ketiga, kelima dan ketujuh.
“Sudah agak lama sejak kali terakhir saya melakukannya. Saya kembali dalam keadaan yang hebat. Kami melakukan tugas yang baik ketika latihan. Kami tidak terlalu memberi tekanan, kami mengawal kepantasan dan diri kami.
“Saya tidak lagi muda jadi terima kasih kepada jurulatih saya dan semua rakan sepasukan saya.”