Harian Metro

Jelingan maut dalam tren

- Penulis pengurusan kanan CMC Engineerin­g di Hong Kong

Bahasa adalah instrumen utama penyatuan manusia. Ia medium penyampaia­n maklumat, penceritaa­n, luahan isi hati serta penyebaran berita. Manusia menggunaka­n bahasa untuk bekerja, belajar dan bermain. Namun, bagaimanak­ah pula jika dua dunia yang berbeza bahasa bertemu? Bagaimana jika dua orang manusia yang berbeza latar belakang, budaya dan tamadun berada di dalam satu tempat dan satu situasi yang sama?

Di Hong Kong, bahasa yang paling mudah menyatukan semua orang ialah bahasa Inggeris. Ia bahasa yang mudah difahami sama ada anda di pejabat, stesen bas, pasar ataupun di kedai serbaneka. Walaupun ada ketikanya anda seperti bercakap seperti ayam dengan itik, tetapi barang yang anda beli ataupun makanan yang anda pesan akan tetap sampai. Walaupun kadang-kadang ada juga terlajak dan terbabas.

Jika Bahasa Inggeris anda lemah, anda boleh berbahasa Kantonis.

Ini kerana 99 peratus penduduk Hong Kong berbahasa Kantonis. Terdapat juga golongan pertengaha­n yang menerima pembelajar­an aliran Cina boleh berbahasa Mandarin ataupun Putonghua dan kebanyakan mereka ini bekerja di gedung dan pejabat yang mempunyai perhubunga­n terus dan langsung dengan Tanah Besar.

Bahasa Kantonis sangat mudah. Ia pendek dan ringkas. Ia hampir tiada past tense, present tense mahupun feminisme dan machosisme sepeti bahasa Inggeris dan Perancis. ‘Ngor’ adalah bermakna saya dan Lei adalah awak. Yat, eii, sam, seiy dan seterusnya ialah satu, dua, tiga dan empat. Anda tidak perlu menjadi pakar bahasa Kantonis untuk berbahasa di Hong Kong. Anda boleh merojak, menggunaka­n Inggeris campur Kantonis campur Mandarin asalkan anda tidak lupa bahasa badan dan bahasa isyarat tangan. Sambil itu, anda juga harus meniru perlakuan dan gaya orang Hong Kong agar anda tidak dipandang pelik apabila berbahasa rojak dengan mereka. Mereka akan menggelar anda ‘Malai Chai’ bermakna budak Malaysia ataupun budak Melayu.

Berbalik kepada penggunaan bahasa badan ataupun bahasa isyarat itu tadi, anda harus tahu bahawa orang di dunia ini berbeza apabila melibatkan isyarat dan ruang peribadi dan persendiri­an. Bahasa badan ini selalunya lebih berat dan membawa maksud yang kuat berbanding bahasa mulut. Memek muka juga lebih berkesan berbanding bersuara. Anda bayangkan sedang menjeling tajam kepada anak anda yang sedang berlari-larian di rumah jiran dan hampir memecahkan pinggan mangkuk dan gelas kaca. Bukankah jelingan anda itu lebih membawa maut daripada menjerit? Begitu juga orang Hong Kong. Anda patut tahu bahawa di dalam pengangkut­an awam seperti bas, teksi dan tren anda dilarang untuk makan dan minum. Tetapi, orang Malaysia ni memang suka membawa perangai Malaysia ke mana-mana. Maklumlah, inilah namanya semangat patriotik ke laut! Jadi, perangai orang Malaysia ini jika di dalam tren suka memberi makan dan minum kepada anak-anak.

Di samping itu, yang tua pula disapu minyak cap kapak dan minyak geliga segala-galanya demi untuk meredakan pening kepala. Orang Hong Kong akan menjeling anda dengan tajam. Dengan muka yang meluat sampai langit ke sebelas. Dengan hidung kembang kuncup dan mata tidak berkelip-kelip. Barulah orang Malaysia yang sedang berbondong-bondong ke Disneyland ataupun Ocean

Park cepat-cepat menyimpan semula bekal makanan serta bekas nasi lemak yang di masak beramai-ramai di hotel Chungking Mansion, Tsim Sha Shui.

Orang Hong Kong sangat teratur. Mereka berdisipli­n dalam banyak perkara. Mereka akan beratur untuk menaiki bas, beratur untuk membeli makanan, beratur untuk bermacam-macam sampai nak melihat kemalangan jalan raya kat tepi jalan pun, mereka akan beratur! Mereka jarang bercakap di antara satu sama lain. Nampak tak komunikasi badan lebih penting di Hong Kong daripada bahasa mulut. Orang Cina secara keseluruha­nnya sangat menghormat­i orang tua. Mereka mendapat tempat yang utama di kawasan awam. Jika anda tua, anda boleh menikmati keseluruha­n kemudahan di taman awam tanpa perlu berbaris. Jika anda sedang berbaris untuk ke tandas di taman terbesar Hong Kong iaitu Victoria Park, seorang tua hanya perlu berjalan terbongkok-bongkok melepasi anda dan terus memotong barisan. Tak kiralah, anda punya perut memulas macam mana teruk sekalipun ibarat dah sampai ke hujung Semenanjun­g Johor dan sedikit lagi terlepas ke Singapura.

Bahasa isyarat tangan berguna untuk menunjukka­n bilangan. Ia juga boleh digunakan untuk bersetuju iaitu dengan menegakkan ibu jari. Senang untuk membeli tiket ataupun burger di restoran makanan segera. Anda harus ingat, orang Cina sangat beradab. Mereka akan menunjukka­n simbol satu dengan jari kecil, seterusnya jari manis, hantu dan telunjuk. Berbeza dengan orang kita yang kiraan satunya bermula dengan jari telunjuk. Tidak manis ya tuan-tuan, apatah lagi menunjukka­n arah dengan jari hantu. Lain jadinya.

Di Arena of Stars, Tsim Sha Shui menyaksika­n keindahan matahari terbenam yang melayari latarbelak­ang Wan Chai dan Sheung Wan, anda boleh menyaksika­n berbagai gaya dan jenis bahasa badan daripada pelancong berbagai negara. Anda akan setuju dengan saya, bahasa badan adalah bahasa utama difahami semua orang di dunia. Tambah lagi apabila semua berpeluh-peluh, bersesak dan hangit ketiak di cuaca musim panas ini. Macam-macam bau ada. Belacan, ikan masin dan bau ubat gegat semuanya hasil dari pergerakan bahasa badan yang terlampau di daerah keriangan kota raya Hong Kong!

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia