Harian Metro

Budak putus kaki merintih malu jumpa kawan

-

“Ore (saya) tahu kaki sudah tiada...ore boleh terima walaupun selepas ini hidup tanpa kaki. Tapi ore malu nak jumpa kawan-kawan kerana kaki sudah tiada,” luahan Muhammad Ashyraf Mohamad Zuki, 13, sebaik sedar daripada koma dan mampu bercakap sejak petang Ahad lalu.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu putus kaki kiri selepas motosikal ditunggang­nya melanggar besi penghadang jalan di Kampung Telaga Bijih, Tanah Merah, Khamis lalu.

Perkara itu dinyatakan ibunya, Mek Kelsom Awang Kechik, 44, sambil berkata, walaupun sudah sedar daripada koma, anaknya masih terkejut dan sedih dengan tragedi yang menimpanya, namun dia melihat semangat anaknya itu kental.

“Berkali-kali dia maklum kepada saya malu untuk berhadapan dengan rakan-rakan.

“Saya memahami perasaan anak saya itu kerana apa yang berlaku masih baru dan dia sendiri dalam keadaan terkejut.

“Buat masa ini, dia tidak boleh bercakap banyak sebaliknya hanya bersuara untuk perkara penting saja.

“Sebab itu saya tidak bertanya bagaimana kemalangan itu boleh berlaku.

“Namun ketika doktor yang merawatnya bertanyaka­n perkara itu, Muhammad Ashyraf hanya memberitah­u dia nampak gelap sebelum merempuh besi penghadang jalan,” katanya, semalam.

Mek Kelsom berkata, kesihatan anaknya juga semakin pulih dan Muhammad Ashyraf juga sudah dipindahka­n ke wad biasa sejak semalam selepas lima hari berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia