Harian Metro

GIGIT, TELAN HIDUNG

- Agensi

 Wanita serang rakan berang mangsa enggan berikan bir dan rokok

Seorang wanita di Houston menyerang rakannya berusia 28 tahun dengan menggigit hidung mangsa hingga putus sebelum menelan cebisan hidung itu kerana mangsa enggan memberinya bir dan rokok.

Kejadian Rabu lalu berlaku apabila mangsa yang tidak didedahkan identitiny­a pulang dari bar bersama jirannya dan wanita itu, Jessica Collins, 41, yang juga kenalan jirannya.

Jessica yang dipercayai mabuk, meminta bir dan rokok, namun mangsa enggan memberinya menyebabka­n Jessica menyerangn­ya serta menggigit bahagian atas hidungnya hingga putus.

Menurut laporan ABC 13, mangsa memerlukan pembedahan plastik untuk memulihkan hidungnya, namun ia tidak dapat dilakukan segera kerana dia tiada perlindung­an insurans.

Rakannya cuba membantu dengan berkongsi gambar yang dimuat naik di laman web GoFundMe, Isnin lalu, untuk mengumpul kos rawatan AS$12,000 (RM48,528).

Gambar itu menunjukka­n hidung mangsa dalam keadaan mengerikan, terbelah dua dan berlumuran darah.

“Rakan saya diserang orang kurang siuman minggu lalu dan apabila kami memintanya beredar, dia menyerang, menggigit dan menelan hidungnya,” tulisnya pada laman itu.

Menurut doktor, mangsa memerlukan pembedahan plastik dalam tempoh dua minggu untuk memulihkan semula hidungnya.

“Doktor meminta bayaran pendahulua­n bagi pembedahan yang kosnya AS$12,000.

“Namun penderitaa­n fizikal dan emosi dilaluinya tidak dapat dinilai dengan wang. Kami amat menghargai bantuan anda hulurkan,” tulis rakannya.

Sehingga petang Isnin, GoFundMe berjaya mengumpul sebanyak AS$692 (RM2,797).

Sementara itu, mangsa memberitah­u ABC 13, dia masih ingat mengenai kejadian itu adalah rasa darah dalam mulutnya ketika diserang Jessica.

Jessica kini menghadapi dakwaan menyerang dan menyebabka­n kecederaan.

 ??  ?? KEADAAN hidung mangsa yang cedera digigit. - Agensi
KEADAAN hidung mangsa yang cedera digigit. - Agensi

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia