Harian Metro

Gerhana bulan penuh paling lama

-

Kuala Lumpur: Gerhana bulan penuh pada 28 Julai ini dijangka berlarutan selama satu jam 42 minit 57 saat, sekali gus menjadikan ia sebagai fenomena alam paling lama bagi abad ke-21 (2001 hingga 2100).

Timbalan Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Samsuddin Omar berkata, fenomena gerhana bulan penuh berkenaan adalah yang kedua berlaku tahun ini.

Beliau berkata, fenomena alam itu boleh dilihat di Australia, Asia (termasuk Malaysia), Afrika, Eropah dan Amerika Selatan bermula jam 01:14:47 pagi sebelum berakhir pada jam 07:28:38 pagi.

“Fasa gerhana penuh akan berlangsun­g selama satu jam 42 minit 57 saat dan tempoh ini menjadikan­nya gerhana bulan penuh paling lama bagi abad ke-21, namun ia mungkin berlarutan selama satu jam 47 minit.

“Gerhana bulan penuh berlaku apabila matahari, bumi dan bulan berada pada kedudukan sejajar atau sebaris. Ketika itu keseluruha­n bulan merentasi bayang umbra bumi,” katanya dalam satu kenyataan.

Samsuddin berkata, ketika fenomena alam itu berlaku bulan dengan perlahan-lahan bertukar daripada putih mutiara yang biasa dilihat kepada warna kemerahan kemudian kembali semula kepada warna asalnya dalam tempoh lima jam.

“Warna kemerahan yang dapat dilihat ketika fasa penuh gerhana bulan pada 28 Julai ini berbeza daripada gerhana bulan penuh yang lain bergantung kepada beberapa faktor termasuk keadaan di atmosfera atas bumi dan kedudukan bulan di sepanjang orbit.

“Gerhana bulan pada 28 Julai ini, boleh dilihat dari mana-mana kawasan di Malaysia bergantung kepada keadaan cuaca setempat.

“Bagaimanap­un tidak semua tempat di Malaysia akan dapat melihat keseluruha­n fasa gerhana yang berlaku kerana bulan terbenam lebih awal sebelum fasa tertentu berakhir,” katanya.

Katanya, secara amnya penduduk di Malaysia akan dapat melihat hampir keseluruha­n fasa gerhana sejak daripada mula berlakunya fenomena ini hingga bulan terbenam bergantung kepada lokasi di mana mereka berada.

“Ini bermaksud lokasi pencerapan paling baik untuk melihat gerhana bulan penuh kali ini adalah kawasan yang berada paling barat. Beberapa bandar terpilih di Malaysia bagi kenampakan gerhana dan bulan terbenam adalah Kota Kinabalu, Sabah, Kuching, Sarawak, Kuala Terengganu, Johor Bahru, Kuala Lumpur, Alor Setar dan Langkawi.

“Sempena fenomena berkenaan Observator­i Negara Langkawi di Bukit Malut, Pulau Langkawi akan mengadakan beberapa aktiviti bermula jam 10 malam (27 Julai) dan berakhir 6.30 pagi (28 Julai) serta terbuka kepada orang ramai,” katanya.

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia