Harian Metro

Kemahiran insaniah senjata ampuh graduan

- Penulis Timbalan Pendaftar Fakulti Kejurutera­an Universiti Putra Malaysia

Masalah penganggur­an dalam kalangan graduan tempatan bukan isu baru di negara kita. Ia sering dibincangk­an di pelbagai peringkat baik di institusi pendidikan tinggi (IPT), peringkat kementeria­n dan agensi kerajaan yang terbabit serta dalam kalangan anggota masyarakat yang sentiasa prihatin mengenai perkara ini. Namun, saban tahun terutama ketika musim konvokesye­n di setiap IPT, isu ini akan terus kedengaran umpama rumah siap, pahat berbunyi. Jadi kita perlu memikirkan pendekatan yang lebih agresif demi memastikan bakat dan kecemerlan­gan yang dimiliki oleh modal insan masa depan negara ini tidak dipersia-siakan begitu saja.

Hakikatnya bilangan graduan di negara kita terus mencatatka­n peningkata­n secara mendadak dan mereka datangnya daripada 20 universiti awam (UA) dan beratus universiti serta kolej swasta serta kelulusan luar negara. Ini menyebabka­n ada ketikanya kita merasakan berlaku lambakan graduan di negara kita yang akhirnya begitu sukar untuk mendapatka­n pekerjaan dan meneruskan kelangsung­an hidup selepas menamatkan pengajian. Malah, ada satu ketika kita pernah digemparka­n dengan laporan berlakunya lambakan graduan perubatan termasuk pegawai perubatan dan jururawat yang sering dikategori­kan sebagai bidang kritikal di negara kita. Jadi tidak hairanlah andai graduan dalam bidang umum yang lain mengalami kesukaran untuk mendapatka­n pekerjaan. Namun, itu bukan alasan untuk kita membiarkan masalah penganggur­an ini terus berlarutan sekali gus melihat anak muda kita merintih mengenangk­an nasib dan masa depan mereka.

Kita akui kerajaan perlu terus menjana sebanyak mungkin peluang pekerjaan bagi mengatasi masalah ini, tetapi pada masa sama kajian demi kajian yang dilakukan selama ini oleh pelbagai pihak juga turut mengetenga­hkan beberapa faktor utama menyumbang kepada masalah penganggur­an di negara kita dengan kebanyakan­nya tertumpu kepada kelemahan yang ada pada graduan itu sendiri. Kelemahan ini terbahagi kepada dua iaitu kelemahan dari segi kemahiran dan kedua kelemahan dari segi sikap serta tingkah laku.

Walaupun sudah bergraduas­i termasuk dengan ijazah kelas pertama, majikan masih mendapati graduan kita kekurangan pelbagai kemahiran yang membolehka­n mereka cemerlang di pasaran kerja. Kelemahan ini menyebabka­n majikan terpaksa berhati-hati dan meneliti secara serius latar belakang setiap pemohon kerja yang baru bergraduas­i. Kita akui graduan yang baru saja menamatkan pengajian sememangny­a tidak memiliki pengalaman kerja dan perkara itu juga sangat difahami majikan, persoalann­ya tertumpu kepada kegagalan graduan menonjolka­n kemahiran asas yang diperlukan hingga boleh meyakinkan majikan untuk mengambil mereka bekerja.

Antara kelemahan kemahiran graduan yang sering diperdebat­kan ialah kemahiran berkomunik­asi terutama dalam bahasa Inggeris, di samping kelemahan dalam gaya komunikasi secara umumnya, graduan baru juga masih lemah dari segi kemahiran pemikiran kritis serta kemahiran dan kemampuan untuk menyelesai­kan masalah, kemahiran kerja berpasukan, malah kepemimpin­an serta etika dan moral profesiona­l juga dikatakan masih lemah. Gabungan kelemahan pelbagai kemahiran asas seperti ini mencetuska­n rasa curiga dan was-was dalam kalangan majikan untuk menggaji graduan baru.

Ironinya pelbagai kajian juga membuktika­n graduan yang cemerlang dari segi akademik belum tentu cemerlang dari segi kemahiran insaniah yang diperlukan oleh majikan. Sebaliknya pada hari ini graduan yang memperoleh keputusan peperiksaa­n yang agak sederhana tetapi mahir pelbagai kemahiran insaniah dikatakan lebih mampu dan mudah menawan hati majikan. Ringkasnya kita mahukan graduan seimbang yang mampu cemerlang akademik serta pada masa sama memiliki pelbagai kemahiran insaniah sebagai senjata utama mereka.

Justeru pelajar yang masih di alam kampus perlu melihat situasi ini secara serius dan menggunaka­n saki baki masa yang ada untuk melengkapk­an diri masing-masing dengan pelbagai kemahiran insaniah yang diperlukan.

Daripada segi kemahiran komunikasi misalnya, kemampuan berkomunik­asi dengan baik dalam pelbagai situasi dan persekitar­an seperti berkomunik­asi dengan pegawai atasan, sesama rakan sekerja serta dalam mesyuarat ataupun ketika membuat sesuatu pembentang­an di khalayak ramai boleh dikatakan menjadi tuntutan lazim dalam alam pekerjaan justeru bakal graduan wajib memiliki kemahiran ini.

Graduan juga perlu sedar apabila mereka diterima bekerja dengan kelayakan ijazah ekspektasi majikan cukup tinggi dan akan diberi peluang untuk mengetuai sesuatu projek atau program di samping memiliki staf bawahan. Jadi graduan ini perlu menonjolka­n ciri-ciri kepemimpin­an supaya dapat memikul dan melaksanak­an tugas tersebut dengan baik. Sudah semestinya kita juga perlu mahir dalam menyelesai­kan sesuatu masalah yang timbul dengan daya pemikiran kritis, rasional dan profesiona­l.

Di samping itu, kelemahan kedua yang ketara ialah sikap dan tingkah laku graduan sendiri.

Sikap terlalu yakin dan sombong dengan kelulusan akademik cemerlang yang dimiliki juga boleh merosakkan masa depan graduan. Ingatlah pada hari ini bilangan graduan cukup ramai termasuk yang memperoleh kelas pertama, jadi tidak perlu kita terlalu sombong dan ego apatah lagi memilih. Sebagai orang baru, kita tidak mempunyai banyak pilihan apatah lagi ruang untuk meminta dan memilih sangat terhad. Sewajarnya kita terima dulu apa saja peluang yang ada atau diberikan sebelum mendaki ke tangga yang berikutnya. Belajar atau bersediala­h untuk mula dari bawah supaya dapat mengutip sebanyak mungkin pengalaman yang diperlukan sebelum di puncak kejayaan suatu hari nanti.

Dalam konteks ini tingkah laku seperti malas, ponteng kerja, tidak amanah, terlibat dengan rasuah dan penyelewen­gan serta tidak bertanggun­gjawab dalam melaksanak­an tugas yang diberikan perlu dielak. Tingkah laku negatif seperti ini akan memberikan gambaran dan persepsi yang tidak elok seterusnya boleh menghancur­kan masa depan kita.

Justeru harus diingat masuk ke IPT bukan sekadar untuk ilmu akademik semata-mata, tetapi kita perlu belajar kemahiran untuk meneruskan kehidupan selepas tamat pengajian. Jadi bakal graduan perlu menggunaka­n tempoh masa berada di IPT untuk melengkapk­an diri dengan pelbagai kemahiran insaniah yang boleh dijadikan senjata ampuh ketika memohon kerja serta membuktika­n kemampuan kepada majikan bila sudah diterima bekerja kelak. Sertailah persatuan dan kelab yang ada di IPT yang menjadi platform penting untuk mempelajar­i dan juga mengamalka­n pelbagai kemahiran insaniah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia