Harian Metro

Rintihan Wenger

- Reuters

 Pengendali luah rasa kesal terlalu lama bimbing Arsenal

Arsene Wenger berkata, kekal selaku pengurus Arsenal hampir 22 tahun mungkin menjadi kesilapan paling besar sepanjang kariernya dan beliau menyesal mengorbank­an “apa saja” untuk tugasnya itu.

Bekas jurulatih berusia 68 tahun dari Perancis itu yang dilantik pada Oktober 1996, meninggalk­an kelab utara London itu hujung musim lalu selepas menang tiga gelaran Liga Perdana Inggeris dan tujuh Piala FA.

Dalam temu bual bersama rangkaian televisyen Perancis, RTL, Wenger berkata, beliau akan membuat keputusan mengenai masa depannya “dalam beberapa bulan lagi.”

Ketika ditanya apa kesilapan besar dalam kariernya, Wenger berkata: “Mungkin kekal di kelab yang sama untuk 22 tahun.

“Saya seorang yang sukakan perkara baru, seperti perubahan. Tapi, saya juga sukakan cabaran. Saya seperti dipenjara kerana sukakan cabaran pada setiap masa.”

Wenger mengakui beliau terlalu ghairah dalam memastikan kejayaan Arsenal, sambil menambah kehidupan peribadiny­a menjadi perkara paling sukar selaku pengurus.

“Saya menyesal mengorbank­an semua yang saya lakukan kerana saya menyakitka­n ramai orang di sekeliling saya,” katanya.

“Saya tidak mempedulik­an orang ramai. Saya tidak mempedulik­an keluarga, saya tidak mempedulik­an ramai kawan rapat. Jauh di sudut hati, jurulatih yang terlalu ghairah ini terlalu tamak untuk mengejar apa yang disukainya.”

Wenger juga yakin bekas pemain Arsenal, Thierry Henry dan Patrick Vieira, yang kini mengejar karier kejurulati­han, memiliki kualiti untuk berjaya di tahap tertinggi.

Vieira kini menjadi jurulatih Nice, manakala Henry, penolong pengurus Belgium pada Piala Dunia, meletak jawatan selaku pengkritik Sky Sports untuk memberi fokus bagi menjadi jurulatih.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia