Harian Metro

AWAS ‘LORI TIDUR’

Lori atau treler diparkir di laluan kecemasan undang risiko pengguna jalan raya

- Yusmizal Dolah Aling dan Syazwan Msar am@hmetro.com.my

> Mereka perlu berehat sebelum meneruskan perjalanan tetapi parkir penuh membuatkan pemandu meletakkan lori di lorong kecemasan dan di bawah jejambat tanpa lampu yang menjadi jerangkap samar pengguna lebuh raya terutama penunggang motosikal. Tinjauan wartawan Yusmizal Dolah Aling dan Syazwan Msar sepanjang Lebuhraya PLUS dari Plaza Tol Jalan Duta hingga Tanjung Malim dan sebaliknya, dari jam 4 pagi semalam mendapati faktor keselamata­n memang tidak dipedulika­n.

Kuala Lumpur

Bagaikan ‘jerangkap samar’ kerana jika tersilap langkah, nyawa menjadi pertaruhan hanya kerana lori atau treler diletakkan di laluan kecemasan, sekali gus mengundang pelbagai risiko termasuk dilanggar pengguna jalan raya lain terutama pada waktu malam.

Tindakan pemandu kenderaan berat itu yang meletakkan lori atau treler di tepi jalan untuk berehat boleh mengundang malapetaka kepada pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal yang tidak menyedari kehadiran kenderaan itu apalagi jika berwarna gelap dan tiada pemantul cahaya.

Tinjauan Harian Metro di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari Kuala Lumpur ke Tanjung Malim di kedua-dua hala, seawal jam 4 pagi semalam mendapati lebih 30 lori berhenti di laluan kecemasan terutama susur masuk ke Hentian Rehat dan Rawat (R&R), di bawah jejambat dan susur keluar dari lebuh raya.

Kebanyakan lori berkenaan dilihat berhenti kerana pemandu berehat dan tidak terdapat tanda yang menunjukka­n kenderaan itu rosak kerana tiada kon atau lampu kecemasan dipasang.

Lori yang berhenti berhampira­n susur R&R dapat dilihat kerana ada lampu lebuh raya, sebaliknya kenderaan yang diletakkan di bawah jejambat dan susur keluar lebuh raya hanya boleh dilihat dalam jarak tidak sampai 100 meter saja kerana tiada lampu jalan dan suasana malam yang gelap.

Tinjauan Harian Metro juga mendapati tempat letak kenderaan untuk lori sangat terhad terutama di hentian sebelah kerana kawasan yang kecil boleh memuatkan 10 hingga 15 lori saja dalam sesuatu masa dan ada yang kurang daripada itu.

Kekurangan petak letak lori menyebabka­n pemandu meletak kenderaan di lorong kecemasan di susur masuk dan keluar R&R. Ada di sesetengah tempat antaranya di hentian sebelah Sungai Buloh ’limpahan’ lori di lorong kecemasan hingga lebih 200 meter.

Keadaan itu memang membahayak­an pengguna lebuh raya terutama motosikal yang kebiasaann­ya menggunaka­n lorong kecemasan apalagi pada waktu malam.

Situasi sama dapat dilihat di kawasan berhampira­n

R&R Rawang, Tanjung Malim, susur keluar ke Bukit Beruntung dan Tanjung

Malim apabila kenderaan berat mula memenuhi laluan kecemasan bermula jam 4 hingga 6 pagi.

Ada antara lori diletakkan di situ kerana menunggu waktu larangan kederaan berat memasuki jalan utama ke Kuala Lumpur pada waktu sesak dari jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi tamat.

Seorang pemandu lori yang ditemui dikenali sebagai Othman, 47, berkata, dia sememangny­a akan berhenti di kawasan R&R Rawang sebelum meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang.

Othman yang berpengala­man 10 tahun memandu kenderaan berat berkata, tindakanny­a itu berikutan R&R kekurangan parkir.

“Ada antara kawasan R&R ini kurang selamat kerana dipenuhi kenderaan lain sekali gus memudahkan penjenayah melakukan rompakan atau mencuri barangan dagangan.

“Berbeza pula kalau parkir di tepi jalan, kita boleh melihat kehadiran kenderaan atau individu lain selain kita tidak perlu bersesak untuk keluar daripada R&R bagi meneruskan perjalanan,” katanya yang setiap minggu menghantar barangan plastik dari Pasir Gudang, Johor ke Pulau Pinang.

Dia berkata, treler yang dipandunya pernah dilanggar kereta Perodua Myvi dua tahun lalu ketika berhenti berhampira­n R&R Sungai Buloh.

“Awak boleh lihat parkir di R&R cukup atau tidak? Kami bawa kenderaan dengan kapasiti besar perlu ruang yang lebih untuk meletakkan kenderaan.

“Nanti kalau langgar kenderaan lain, kami juga dipersalah­kan dan jalan terbaik adalah letak tepi jalan jika mahu berehat,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pemandu lori Asri Abu Samah, 42, berkata, kebiasaann­ya pemilik kenderaan berat akan memberhent­ikan kenderaan di kawasan tertentu seperti berhampira­n kawasan R&R dan susur keluar lebuh raya kerana diterangi cahaya selain mudah untuk meneruskan perjalanan.

“Saya akan menyalakan lampu belakang supaya pengguna jalan raya lain menyedari terdapat lori berhenti di tepi jalan bagi mengelak berlakunya kemalangan.

“Kami berhenti sebab letih kerana perlu melalui perjalanan yang jauh dan masa juga panjang kerana lori yang membawa muatan hanya boleh bergerak dengan kelajuan 60 kilometer sejam,” katanya yang bekerja dengan sebuah syarikat penghantar­an barangan di Shah Alam, Selangor.

FAKTA Tinjauan Harian Metro di PLUS seawal jam

4 pagi semalam mendapati lebih 30 lori berhenti di laluan

kecemasan

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia