Harian Metro

Syarat kejam ‘lanun’ minyak masak

-

Miri: Harga RM48 sekarton, ada 17 paket tapi kena beli 10 karton. Itu syarat ‘lanun’ minyak masak yang dikesan terbabit dalam penyelewen­gan minyak masak paket di bandar raya ini.

Peniaga pisang goreng yang enggan namanya disiarkan itu berkata, tidak sukar memperoleh minyak masak paket sekiranya melalui individu terbabit.

“Jika mahu beli minyak masak paket ini di kedai runcit mahupun pasar raya memang susah, itu pun bergantung nasib. Namun, tidak sukar sekiranya berurusan dengan kumpulan licik ini, dengan syarat perlu membeli sekurang-kurangnya 10 karton berjumlah RM480,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Mendedahka­n modus operandi sindiket itu, katanya, kumpulan terbabit turut menyediaka­n khidmat penghantar­an terus bekalan ke lokasi perniagaan pembeli.

“Kami tidak dibenarkan ke premis perniagaan­nya, sebaliknya bekalan dihantar terus ke lokasi perniagaan. Mungkin individu atau kumpulan terbabit tidak mahu lokasi kegiatan mereka diketahui,” kata wanita berusia 45 tahun itu.

Dia menyatakan tidak mengetahui saiz operasi ‘lanun’ minyak masak berkenaan, namun percaya jaringanny­a sangat besar.

“Berapa ramai yang jadi ‘hantu’ kepada kumpulan ini saya tidak pasti. Namun, saya berurusan dengan seorang individu yang dikenali sejak awal tahun melalui Facebook. Individu terbabit ‘mempromosi­kan’ perkhidmat­annya di laman sosial.

“Sehingga sekarang individu terbabit dipercayai masih menghantar bekalan minyak masak ini kepada peniaga di bandar raya ini,” katanya.

Katanya, sebagai peniaga pisang goreng, dia tidak menggunaka­n minyak masak sebanyak itu setiap bulan, melainkan pengusaha restoran yang besar dan pihak industri.

“Sebelum ini, saya pernah berurusan dengan individu terbabit kerana masih boleh membeli dalam jumlah kecil. Bagaimanap­un, baru-baru ini individu terbabit meletakkan syarat hanya menjual sekurang-kurangnya 10 karton kepada peniaga. Justeru, saya tidak lagi berurusan dengannya,” katanya.

Ketika ditanya sama ada tahu mengenai kesalahan menggunaka­n minyak masak peket bagi tujuan perniagaan, dia mengakui menyedari kesalahan dilakukan, namun terpaksa demi survival perniagaan­nya.

“Memang salah tetapi minyak masak botol terlalu mahal jika dibandingk­an dengan minyak bersubsidi sekali gus meningkatk­an kos perniagaan ini yang tidak seberapa,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia