Harian Metro

GUNA KELEBIHAN UNTUK KEBAIKAN

-

“Seandainya kalian benar-benar bertawakal pada Allah, tentu kalian diberikan rezeki sebagaiman­a burung diberikan rezeki. Ia pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali pada siang hari dalam keadaan kenyang.” (Hadis riwayat Tirmidzi no. 2344. Abu ‘Isa Tirmidzi mengatakan hadis ini hasan sahih)

Sudah menjadi fitrah, setiap insan yang dijadikan Allah SWT mahu dirinya menjadi baik. Sejahat mana sekalipun seseorang itu, tetap terdetik di benak hatinya ingin menjadi baik.

Ketika iman berada di puncak, kita sentiasa rajin beribadat. Ketika iman turun, kita perlu segera mencari kekuatan dan jangan dibiarkan diri keseoranga­n.

Carilah sokongan rohani daripada keluarga, sahabat serta berdamping dengan ilmuan. Apabila kita berada dalam suasana dan aura positif, insya-Allah kita akan cuba memperting­katkan amalan.

Kita tahu siapa diri kita, malah mengetahui tahap mana keimanan kita. Saya ada satu doa untuk dikongsika­n serta diamalkan bersama, yang pernah diajar seorang guru iaitu doa Nabi Adam yang beri oleh malaikat.

Ia adalah doa untuk memohon keampunan selepas baginda melanggar perintah Allah SWT apabila memakan buah larangan di syurga.

“Ya Allah, kami menzalimi diri kami sendiri, jika tidak engkau ampuni kami dan merahmati kami tentulah kami menjadi orang yang rugi.” (Surah al-A’raf: 23)

Ungkapan doa itu juga menjadi nasihat dan inspirasi buat diri saya sendiri yang pernah nekad untuk memeluk Islam tanpa menoleh ke belakang lagi, dan cuba sedaya upaya menjadi hamba Allah yang terbaik.

Saya mengharapk­an hidup ini dapat dimanfaatk­an dengan berdakwah secara akhlak selain membantu saudara seIslam dan mereka yang masih belum menerima hidayah

Islam. Walaupun dakwah yang dilakukan ini kecil dan tidak memberi impak besar, saya sentiasa berharap ia mendapat keredaan Allah SWT.

Saya ingin bersama insan yang hebat dalam menyebarka­n ajaran Islam kepada golongan belum Islam dan saudara baru. Itu juga peranan yang perlu dilaksanak­an setiap hamba Allah SWT dalam kehidupan ini sebelum kita menuju ke destinasi abadi kelak.

Apabila berada di samping insan yang hebat, saya juga ingin menyumbang tenaga dan berbakti kepada agama.

Setiap orang ada kelebihan masing-masing. Cari kelebihan itu dan gunakan untuk perkara kebaikan. Jika kita ada kelebihan memasak, gunakan kemahiran itu untuk memberi makanan kepada golongan yang memerlukan.

Semua orang boleh melakukan sebarang kebaikan. Tidak semestinya perlu menjadi ustaz baru boleh membuat kebaikan.

Terdapat kisah pada zaman Nabi Ibrahim. Sewaktu Baginda dibakar oleh kaumnya, seekor burung kecil terbang berulangal­ik mengisi air dalam paruhnya lalu menyiram ke atas api yang membakar. Itulah yang dilakukann­ya berulang kali.

Tingkah lakunya diperhatik­an makhluk Allah yang lain lalu bertanya kepada burung kecil itu: “Untuk apa kau berpenat lelah mengambil air berulang-alik, sedangkan api yang membakar Nabi Ibrahim tidak akan terpadam dengan air yang kau siramkan itu?”

Lalu burung itu menjawab: “Memang ia tidak akan dapat memadamkan api itu, tetapi aku lebih takut kepada Allah kerana Allah akan menyoal aku nanti, apakah yang aku sudah lakukan untuk agama Allah, dan Allah tidak akan bertanya sama ada aku berjaya memadamkan api itu atau pun tidak.”

Berlainan pula dengan cicak yang bertindak jahat dengan menghembus ke api yang membakar Nabi Ibrahim dengan harapan api akan menjadi lebih marak untuk terus membakar Nabi Ibrahim (walaupun sebenarnya hembusan itu tidak membawa kesan terhadap api berkenaan).

Banyak pengajaran yang boleh kita ambil daripada kisah itu. Kecil atau besar sumbangan atau perubahan kita itu tidak penting.

Yang penting, kita sentiasa berusaha sebaik mungkin untuk menjadi insan lebih baik. Ujian akan datang kepada kita tidak kira masa dan siapa. Ujian itu adalah untuk meningkatk­an darjat kita di sisi Allah SWT.

Senyum selalu selalu bersangka baik insya-Allah hati tenang

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia