Harian Metro

Makhluk Ilahi paling taat

 Umat Islam wajib percaya kewujudan golongan malaikat

- Penulis pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu

Malaikat adalah hamba ciptaan Allah SWT yang sangat taat kepada perintah Penciptany­a.

Kelompok makhluk itu termasuk dalam perkara ghaib yang wajib diimani kewujudann­ya oleh manusia. Beriman dengan kewujudan malaikat termasuk salah satu daripada Rukun Iman.

Ini bermakna, menafikan kewujudan malaikat akan menyebabka­n seseorang Muslim menjadi kufur.

Malaikat diciptakan Allah SWT daripada cahaya. Rasulullah SAW menjelaska­n perkara itu menerusi hadis Baginda yang bermaksud: “Malaikat diciptakan daripada cahaya, jin diciptakan daripada nyalaan api dan Adam diciptakan daripada apa yang telah disifatkan

kepada kalian.” (Hadis riwayat Muslim)

Malaikat diciptakan oleh Allah SWT sebelum penciptaan manusia. Allah

SWT memaklumka­n kepada sekalian malaikat mengenai penciptaan manusia iaitu Nabi Adam.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhn­ya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.” Mereka bertanya: “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahka­n darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan­Mu?” Tuhan berfirman: “Sesungguhn­ya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahui­nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 30)

Malaikat sentiasa beribadat dengan tunduk memuji dan mensucikan Allah SWT setiap masa dan ketika.

Mereka juga mempunyai tugas masing-masing yang dilaksanak­an dengan penuh taat.

Antara tugas malaikat ialah memikul Arasy Allah SWT yang maha hebat. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Aku diizinkan untuk bercakap tentang salah satu malaikat Allah yang memikul Arasy. Jarak antara cuping telinga dengan bahunya adalah seperti perjalanan sejauh tujuh ratus tahun.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Maha suci Allah SWT yang berkuasa menciptaka­n makhluk-Nya dengan kehendak-Nya jua. Namun, apa yang hendak ditekankan di sini ialah tentang fakta bahawa malaikat turut mendoakan kesejahter­aan manusia iaitu golongan yang beriman dengan Allah SWT dan melakukan perkara yang baik.

Terdapat beberapa hadis Rasulullah SAW yang menjelaska­n hal ini, antaranya:

Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat fardu dalam keadaan berwuduk.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat selama ia berada dalam keadaan suci (berwuduk) kecuali kalangan malaikat akan mendoakann­ya: “Ya Allah, ampunilah dia. Ya Allah sayangilah dia.” (Hadis riwayat Muslim)

Orang yang berada dalam saf pertama, kedua dan saf sebelah kanan ketika solat berjemaah.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhn­ya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf pertama.” Para sahabat bertanya: “Dan juga pada saf kedua?” Rasulullah menjawab: “Dan juga saf kedua.” (Hadis riwayat Ahmad)

Orang yang solat berjemaah dan mengucapka­n ‘amin’ (perkenanka­nlah) ketika imam selesai membaca surah al-Fatihah.

Malaikat turut memohon perkenan daripada Allah SWT agar doa orang yang solat berjemaah itu dimakbulka­n oleh-Nya. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Jika seorang membaca ‘amin’ dan berkata malaikat di langit ‘amin’, maka bertepatan ucapan antara keduanya, diampuni baginya (orang yang mengucapka­n ‘amin’) dosanya yang lalu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Orang yang solat Subuh secara berjemaah dan duduk sebentar di tempat solat untuk berzikir mengingati Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menunaikan solat Subuh, kemudian duduk (berzikir) di tempat solatnya, maka para malaikat berdoa untuknya, dan doa mereka kepada orang tersebut adalah: “Ya Allah ampunilah dosanya. Ya Allah rahmatilah dia.” (Hadis riwayat Ahmad)

Orang yang mendoakan kebaikan orang lain dalam keadaan orang yang didoakan itu tidak mengetahui­nya.

Itulah kehebatan ikatan ukhwah antara dua insan yang hebat. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Doa seorang Muslim untuk saudara seislamnya dalam keadaan tidak diketahui oleh orang yang didoakan, maka di sisi kepalanya (orang yang mendoakan) ada malaikat yang ditugaskan, setiap kali orang tersebut mendoakan kebaikan untuk saudaranya, malaikat yang ditugaskan tersebut mendoakan: “Amin (perkenanka­nlah ya Allah) dan untukmu juga seperti (kebaikan yang didoakan) itu.” (Hadis riwayat Muslim)

Orang yang menginfakk­an hartanya pada jalan Allah.

Hal ini seperti sabda Rasulullah SAW: “Tidaklah para hamba memasuki waktu pagi hari melainkan ada dua malaikat turun (ke dunia). Maka salah satu daripada mereka berdoa: “Ya Allah, berikanlah ganti (yang baik) kepada orang yang bersedekah.” Sedang malaikat yang satu lagi mendoakan: “Ya Allah, timpakanla­h kerugian kepada orang yang menahan hartanya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Orang yang berdakwah menyampaik­an kebaikan kepada manusia.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhn­ya Allah dan para malaikat-Nya, penghuni langit dan penghuni bumi, bahkan semut di liangnya dan juga ikan, mereka benar-benar berselawat untuk orang yang (berdakwah) mengajarka­n kebaikan kepada manusia.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Maksud selawat daripada Allah SWT ialah pujian dan pengagunga­n-Nya untuk orang berkenaan.

Makna selawat daripada malaikat dan yang lainnya untuk seseorang adalah permintaan mereka supaya Allah SWT menambah pujian dan pengagunga­nNya kepada orang itu.

Semoga kita menjadi hamba-Nya yang sentiasa melakukan kebaikan dan mendapat doa malaikat.

 ??  ?? MALAIKAT mendoakan mereka yang solat berjemaah.
MALAIKAT mendoakan mereka yang solat berjemaah.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia