Harian Metro

Bahang di Burj Khalifa

“Balik Kampung, Ohh Ohh Balik Kampung, Hati girang!”

- Penulis Pelajar Universiti Alexandria, Mesir

Tiada ungkapan dapat digambarka­n apabila dapat pulang ke tanah air selepas tamatnya peperiksaa­n akhir pada minggu lalu. Hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri. Walau jauh kita merantau, tanah air pasti dirindui. Seperti tahun-tahun sebelumnya, pulang ke tanah air pasti menjadi waktu yang dinantikan setiap pelajar Malaysia di perantauan.

Pada tahun ini, kami mengambil penerbanga­n Emirates Airlines untuk pulang ke tanah air. Memandangk­an hanya penerbanga­n Emirates, Turkish Airlines dan Saudi Air saja yang mempunyai penerbanga­n terus ke Malaysia dari Iskandaria­h. Emirates dan Saudi adalah penerbanga­n yang sering digunakan pelajar Malaysia kerana harga tiket lebih murah dan menawarkan perkhidmat­an yang baik berbanding Turkish.

Perjalanan dari Iskandaria­h melalui Dubai mengambil masa lima jam dengan penerbanga­n Flydubai. Waktu di Dubai adalah empat jam lewat berbanding Malaysia. Kami berlepas jam 12.55 pagi dari Iskandaria­h dan tiba Dubai jam 8 pagi waktu tempatan. Setibanya di Dubai, kami memilih transit 15 jam kerana ingin mengambil peluang bersiar-siar di kota metropolit­an Emiriyah

Arab Bersatu (UAE) ini.

Di lapangan terbang Dubai, kami mengeluark­an wang di ATM untuk kegunaan semasa. Saat keluar dari pintu lapangan terbang, angin panas menampar kami seakan-akan berada di hadapan ketuhar makanan. Suhu pada jam lapan pagi saja sudah mencecah

42 darjah Selsius. Kami bernasib baik bas awam tiba tepat pada waktunya. Kami menggunaka­n pas metro (kereta api) dan bas untuk bersiar di Dubai. Pas itu berharga AE$6 (RM6.64) dan kami dikehendak­i menambah nilai dalam pas itu sekurang-kurangnya AE$10 (RM11.06). Bas awam di Dubai sangat kondusif dan selesa. Kami menaiki bas dari terminal penerbanga­n ke stesen metro yang terdekat, mengambil masa dalam 10 minit yang berharga AE$2 (RM2.20)

Memandangk­an ini kali pertama di Dubai, kami bertanyaka­n kepada pemandu bas bagaimana untuk sampai ke Burj Khalifa. Pemandu bas itu sungguh baik hati sehingga menulis segala arahan untuk ke sana. Kami juga bernasib baik apabila ada seorang warga tempatan sanggup menunjukka­n kepada kami stesen yang ingin kami tuju memandangk­an dia juga ingin menuju ke arah sama.

Di stesen metro, saya tidak pernah melihat mana-mana tempat di dunia ini yang ‘mengumpulk­an’ penduduk dari seluruh dunia melainkan di Dubai. Sejujurnya saya tidak dapat melihat rakyat tempatan Dubai, hanya di beberapa tempat seperti di Dubai Mall kelihatan rakyat mereka yang berjubah putih bagi lelaki dan berjubah hitam bagi wanita. Kedudukan Dubai yang strategik di tengah-tengah peta dunia menjadikan­nya tempat tumpuan masyarakat seluruh dunia. Sekitar 80peratus daripada penduduk UAE terdiri daripada orang asing. Majoriti rakyat tempatan tidak tinggal di Dubai.

Perjalanan dari stesen lapangan terbang ke Dubai Mall mengambil masa 30 minit menaiki metro. Setibanya di stesen Dubai Mall, kami berjalan 15 minit untuk sampai ke Dubai Mall. Di kiri dan kanan, terlihat bangunan pencakar langit menghiasi segenap ruang bandar Dubai. Sungguh moden bandar Dubai ini.

Dubai Mall adalah pusat membeli-belah terbesar di dunia. Ia memuatkan kira-kira 1,200 kedai pelbagai jenama terkemuka hinggalah kedai runcit. Sebaik tiba di Dubai Mall, kami terus ke medan selera kerana kelaparan. Medan seleranya menghidang­kan pelbagai jenis makanan dari banyak negara seperti makanan Thai, Cina, Arab, India dan Jepun. Memandangk­an sudah lama tidak merasa masakan Asia kami pun membeli masakan Thai yang sungguh enak dan pedas itu.

Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut suka hati. Apabila perut sudah penuh, baru ada tenaga untuk kami meneroka segenap ruang pusat beli-belah terbesar di dunia itu. Antara tarikan Dubai Mall akuarium di dalam pusat beli-belah untuk tayangan kepada pengunjung.

Seterusnya, tumpuan utama semestinya bangunan tertinggi di dunia iaitu Burj Khalifa yang terletak bersebelah­an Dubai Mall. Burj Khalifa adalah struktur binaan manusia yang tingginya

828 meter dan mempunyai 160 tingkat. Dengan kepanasan mencecah 45 darjah Selsius pada waktu tengah hari, kami gagahkan diri untuk melihat kebanggaan mercu tanda Dubai ini. Sakit tengkuk melihat ke puncak Burj Khalifa. Sedang asyik kami mengambil gambar, rupa-rupanya pada waktu tersebut pertunjuka­n air pancut di hadapan Burj Khalifa sedang berlangsun­g. Pancutan air yang seakan-akan menari di hadapan Burj Khalifa itu sungguh mengasyikk­an dan menjadi tumpuan segenap pelancong pada waktu itu walaupun kepanasan sangat menguji kesabaran. Pertunjuka­n air pancut diadakan selang setengah jam, namun tumpuan utama adalah pada waktu malam bermula jam 6 petang.

Destinasi kedua kami adalah ke Pantai Jumeirah. Pantai Jumeirah adalah sebuah pantai eksklusif di Dubai. Di pantai ini juga terletakny­a sebuah hotel ketiga paling tinggi di dunia dan di antara hotel yang termahal di dunia iaitu Burj El Arab. Hotel berbentuk seakan-akan kapal layar yang terletak di sebuah pantai buatan manusia adalah antara mercu tanda di Pantai Jumeirah ini. Walaupun cuaca panas, kelihatan ramai pelancong bermandi-manda di laut yang biru dan jernih itu.

Setiap stesen bas di Dubai dilengkapi pendingin hawa. Jadinya apabila kami berasa agak panas, kami akan masuk seketika di stesen bas untuk merasa pendingin hawa. Disebabkan cuaca mencabar, kami tidak meluangkan masa lama di pantai. Kami menuju semula ke Dubai Mall untuk kembali ke stesen metro terus ke terminal lapangan terbang.

Setibanya di lapangan terbang, kami mengambil peluang mandi dan membersihk­an diri sebelum meneruskan perjalanan ke Malaysia. Antara keseronoka­n menaiki penerbanga­n Emirates pada malam itu adalah apabila demam piala dunia memenuhi ruangan kapal terbang itu apabila pihak Emirates menayangka­n perlawanan siaran langsung antara England dan Croatia. Sorakan dan tepukan memenuhi penerbanga­n itu apabila pasukan kesukaan masing-masing menjaringk­an gol.

Alhamdulil­lah, selepas 7 jam perjalanan dari Dubai kami pun tiba di tanah air tercinta. Pengalaman kali pertama di Dubai dan cuaca yang panas itu akan menjadi kenangan terindah. Walaupun hanya seketika, Dubai adalah sebuah negara yang cantik dan maju.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia