Harian Metro

Galak agensi, jabatan awam wujud Taska

-

Kuala Lumpur: Menjelang Januari tahun depan, semua agensi dan jabatan kerajaan digalak mewujudkan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di tempat kerja masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, keutamaan diberikan kepada agensi kerajaan yang mempunyai kakitangan bekerja secara syif.

Menurutnya, Kementeria­n Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga mahu bekerjasam­a dengan Kementeria­n Pendidikan supaya Taska dapat diwujudkan di sekolah untuk kemudahan guru.

“Bagi sektor awam, subsidi yuran pengasuhan Taska di tempat kerja RM180 sebulan bagi seorang anak kepada pegawai perkhidmat­an awam yang pendapatan isi rumah tidak melebihi RM5,000 sebulan disediakan berdasarka­n Surat Pekeliling Perkhidmat­an Bilangan 38 Tahun 2013.

“Bagi sektor swasta pula, insentif pelepasan cukai boleh dituntut daripada kerajaan mengikut pekeliling Jabatan Hasil Dalam Negeri bertarikh 15 Februari 1996 yang mana pengecuali­an cukai 10 peratus selama 10 tahun untuk ubah suai dan penyenggar­aan bangunan bagi penyediaan Taska,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian sebagai menjawab soalan Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang-PAS) di Dewan Rakyat, semalam.

Siti Zailah mahu mengetahui mengenai langkah mengawal selia pusat asuhan kanak-kanak termasuk di rumah persendiri­an supaya tragedi penderaan tidak berulang.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, kementeria­n menganjurk­an Bengkel Pindaan Akta Taman Asuhan Kanak-kanak (Akta 308) yang diadakan pada 11 Julai 2018 bagi memantapka­n kawal selia Taska di seluruh negara.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia