Harian Metro

Tak mengaku ceroboh istana

- Izlaily Nurul Ain Hussein news@nstp.com.my

Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tiga pertuduhan menceroboh istana, cubaan membunuh anggota Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) serta melakukan khianat di kawasan istana, minggu lalu.

Tertuduh, Razali Tafri, 44, bagaimanap­un mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan itu sebaik ia dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Noor Aisyah Ahmad.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa cuba melakukan kesalahan mematikan orang dengan salah terhadap anggota JMF, Muhammad Haiqal Musa, 40, sehingga menyebabka­n lelaki itu cedera.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di dalam kawasan Istana Bukit Serene di sini jam 11.15 malam, Khamis lalu.

Pertuduhan terhadapny­a dibuat mengikut Seksyen 308 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa berada dalam kawasan larangan tanpa kebenaran sah dan pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 5 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan (AKLTL) 1959 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 7 akta sama.

Bagi perbuatan yang dilakukan di tempat dan masa sama itu, dia berdepan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, lelaki bujang itu didakwa melakukan khianat dengan memandu serta melanggar penghadang jalan di kawasan pintu pagar C Istana Bukit Serene hingga mengakibat­kan kerosakan pada tempat berkenaan.

Perbuatan itu juga didakwa dilakukan di tempat dan masa sama.

Tertuduh diwakili peguam Arwa Abdul Rahman dan didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

 Penganggur hadapi tiga pertuduhan termasuk cubaan bunuh askar JMF dan khianat

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia