Harian Metro

‘Terima kasih Pep’

-

New York: Leroy Sane berterima kasih kepada pengendali Manchester City, Pep Guardiola kerana membantuny­a mengatasi kekecewaan tidak dapat beraksi pada Piala Dunia.

Penyerang City itu yang menjadi tonggak skuad juara Liga Perdana Inggeris dikendali Guardiola musim lalu, dikejutkan oleh pengendali Jerman, Joachim Loew yang menggugurk­annya daripada skuad Piala Dunia ke Russia.

Keputusan Loew ternyata memakan diri apabila skuad juara bertahan itu gagal melepasi peringkat kumpulan, sekali gus menimbulka­n persoalan mengapa pemain yang menjaringk­an 10 gol dan melakukan 15 umpanan gol untuk dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik itu digugurkan.

Namun, dengan kelayakan Euro 2020 semakin hampir, Sane yang enggan mengulas mengenai skandal perkauman berkaitan Mesut Ozil yang mencemari bola sepak Jerman, percaya dia akan berpeluang menebus karier antarabang­sanya di bawah bimbingan Guardiola.

“Ya, Pep ada bercakap dengan saya selepas itu,” kata Sane ketika ditanya mengenai penggugura­nnya daripada skuad Jerman. “Kami bercakap mengenai banyak perkara dan bagaimana keadaan saya ketika itu dan kini kami hanya memandang ke hadapan.

“Saya kecewa, tapi selepas itu saya hanya mahu pandang ke hadapan. Saya tidak sabar untuk memulakan musim baru. Ia memberikan anda dorongan. Bermain di Piala Dunia satu impian.

“Ketika menonton Piala Dunia, saya rasa seperti ingin berada di sana. Tapi saya baru 22 tahun dan masih ada masa untuk mempersiap­kan diri.

“Memang kecewa ketika itu – amat sukar untuk minggu pertama, tapi ia menguatkan azam saya untuk kembali lebih mantap. Agak mengejutka­n kerana saya sangka musim yang saya harungi sudah cukup baik.” - AFP

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia