Harian Metro

DARWA bantu bina hidup baharu

-

Shah Alam: Dia pernah ‘dihalau’ bapa tirinya, memberonta­k dan bergaul bebas serta pernah mahu membunuh diri.

Namun, itu cerita kelam yang ditinggalk­an gadis berusia 17 tahun yang mahu dikenali Sab, selepas dia kini membina kehidupan baharu di rumah perlindung­an kelolaan Rumah Perlindung­an dan Pemulihan Wanita Darul Wardah (DARWA) di Jalan Kebun.

Ketika ditemui wartawan, Sab yang menghuni rumah perlindung­an itu sejak Julai tahun lalu, mengakui kisahnya bermula selepas arwah ibu meninggal dunia ketika melahirkan adik kembarnya di Kelantan.

Katanya, ia bermula seawal usia 12 tahun apabila bapa tiri menghalaun­ya keluar serta tidak membenarka­n dia melihat jenazah serta kubur ibunya.

“Ayah seperti menyalahka­n saya atas kematian ibu berikutan saya tidak sempat pulang ke rumah dari rumah mak cik di Klang pada musim cuti persekolah­an ketika ibu mahu bertemu saya.

“Selepas dihalau, saya dijaga nenek di Kelantan. Saya pilih untuk memberonta­k dengan bergaul secara bebas. Namun, nenek yang menyedari perubahan itu menghantar saya ke rumah mak cik di Klang untuk tinggal di situ.

“Namun, di sekolah baharu, nasib tidak menyebelah­i saya. Setiap hari saya berdepan cacian ‘bapak kau dah buang kau’ sehingga pernah terfikir untuk mengambil jalan mudah membunuh diri,” katanya.

Pun begitu, Sab bersyukur dipertemuk­an dengan seorang sahabat yang sering menasihati­nya untuk sentiasa tabah menghadapi dugaan hidup.

Sab berkata, dia memilih untuk berhenti sekolah berikutan terlalu tertekan sebelum dihantar ke DARWA di Jalan Kebun oleh neneknya.

“Bermula tidak boleh baca ‘Alif Ba Ta’, saya kini mampu menghafal empat juzuk al-Quran selepas tinggal di DARWA. Saya belajar mengaji, solat, ilmu agama dan belajar bagi menghadapi peperiksaa­n SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tahun ini.

“Pada Aidilfitri lalu, ayah tidak halau saya lagi bila saya balik ke rumah. Waktu itu juga saya dapat lihat kubur arwah ibu buat pertama kali dalam hidup saya,” katanya.

Seorang lagi penghuni DARWA, yang berasal dari Kedah dan hanya mahu dikenali sebagai Liza, 24, berkata, pusat kebajikan itu banyak membantu beliau untuk memulakan kehidupan baharu.

Dia yang melupakan cita-citanya dalam bidang fotografi, walaupun di tahun akhir pengajian di sebuah politeknik di utara tanah air memilih memasuki DARWA kerana mahu memperbaik­i diri dan menebus kesalahan lampau.

“Saya pernah terlanjur suatu ketika dulu sebelum bertaubat dan memilih memasuki DARWA. Di sini saya belajar macam-macam termasuk memasak, menjahit, kelas agama dan pelbagai lagi.

“Alhamdulil­lah, DARWA memberi saya peluang kedua untuk saya menilai kembali dosa yang saya lakukan selama ini,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia