Harian Metro

Waris MH370 mohon semak kes

-

Waris penumpang MH370 memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini bagi mencabar keputusan kerajaan dan dua lagi yang mengklasif­ikasikan beberapa dokumen berhubung pesawat itu sebagai Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

Dua anak iaitu Tan Wei Hong, 18, dan Tan Wei Jie, 16, ibu bapa kepada Ah Meng, Tan Hun Khong, 87, dan Lai Chew Lai, 85, serta ibu Hsiu Ling, Chuang Hung Chien, 78, selaku pemohon memfailkan permohonan itu minggu ini.

Mereka waris kepada pasangan Tan Ah Meng, 46 dan isterinya Chuang Hsiu Ling @ Cindy Chuang, 45 dan anak sulungnya, Tan Wei Chew, 19 yang terbunuh dalam kejadian itu.

Saman itu difailkan melalui Tetuan Ngeow & Tan dan mereka menamakan Menteri Pengangkut­an, Ketua Setiausaha kementeria­n dan kerajaan sebagai responden.

Lima individu itu memohon perintah supaya beberapa dokumen yang sebelum ini diklasifik­asikan mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) dibatalkan.

Dokumen itu adalah rakaman atau transkrip komunikasi pesawat, surat perjanjian dengan Singapura, Thailand dan Indonesia, minit mesyuarat dengan agensi berkenaan, memo dalaman dan laporan pencarian serta penyelamat­an.

Waris juga memohon perintah mandamus untuk responden mendedahka­n dokumen itu dan perintah perisytiha­ran bahawa dokumen berkenaan bukan dokumen OSA.

Pada 28 Ogos 2015, waris itu juga ada memfailkan saman kecuaian dan kemungkira­n kontrak terhadap Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan empat lagi.

Ah Meng, seorang pengarah sebuah syarikat kejurutera­an dan pembinaan, dan isterinya, Hsiu Ling, bersama anak sulung mereka, Wei Chew berada dalam penerbanga­n itu dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014 sebelum disahkan berakhir di Lautan Hindi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia