Harian Metro

Cekup dalang ‘rembat’ lori

- Hafidzul Hilmi Mohd Noor hafidzul@nstp.com.my

Dua lelaki yang meleraikan komponen sebuah lori baru dicuri di Bukit Puchong, dekat sini, ditahan polis, Ahad lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superinten­dan Choo Lily berkata, dua lelaki terbabit ditahan di Kuala Selangor selepas menerima maklumat berhubung kehilangan kenderaan itu.

“Polis menerima laporan berhubung sebuah lori yang diletakkan di tepi jalan milik sebuah syarikat hilang, Ahad lalu.

“Susulan kejadian itu, sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Risikan dan Operasi (D4) mengesan suspek di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Choo berkata, siasatan mendapati dua suspek terbabit mengaku mencuri kenderaan itu di Bukit Puchong.

“Suspek turut mengaku mencuri tiga lori lagi di Kapar, Jinjang dan Rawang.

“Pemeriksaa­n turut menemui pelbagai komponen lori yang sudah dileraikan,” katanya.

Beliau berkata, polis merampas lori berkenaan, enam tayar pelbagai jenama, tiga unit pendingin hawa lori, satu kompresor pendingin hawa lori dan sembilan keping pagar kayu lori.

“Selain itu, turut dirampas tujuh pagar besi lori, satu casis lori yang dileraikan, batang paip ekzos, kanvas lori, empat besi penyambung pagar dan satu unit besi depan lori.

“Siasatan terhadap suspek turut mendapati mereka mempunyai empat rekod jenayah lampau. Kedua-dua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

„ Dua suspek mengaku curi kenderaan berat di Bukit Puchong

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia