Harian Metro

Daren kekal tenang tanpa Chong Wei

- Ferzalfie Fauzi ferzalfie@nstp.com.my

Petaling Jaya: Perseorang­an lelaki negara, Liew Daren mengakui tidak berasa tertekan walaupun akan beraksi bersendiri­an pada Kejohanan Dunia di Nanjing bermula Isnin depan selepas Datuk Lee Chong Wei menarik diri kerana masalah kesihatan.

Menurut bekas pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu, dia memang terkejut selepas mendapat khabar Chong Wei menghadapi masalah pernafasan dan terpaksa berehat sebulan.

“Saya baru tahu berita ini semalam mengenai penyakit dialaminya dan berharap dia cepat sembuh. Saya tidak sangka dia menghidap penyakit serius kerana dia pemain berdisipli­n,” katanya ketika ditemui media selepas majlis menandatan­gani perjanjian antara Akademi Badminton AirAsia dan Toga Limited.

Ujar pemain berusia 30 tahun itu, walaupun tanpa Chong Wei dan menjadi wakil tunggal dalam acara perseorang­an lelaki, dia berasakan tidak mempunyai sebarang perbezaan.

“Tidak banyak beza, lagi pun sekarang saya di bawah Akademi Badminton AirAsia bukan lagi dengan BAM. Setakat ini saya tidak berasa tertekan. Bermain secara profesiona­l membolehka­n saya fokus kepada diri sendiri.

“Saya cuma sedikit terkejut selepas mendapat berita Chong Wei sakit. Setakat ini saya masih belum menghubung­inya untuk bertanya khabar,” kata Daren yang pernah muncul juara Terbuka Perancis pada 2012.

Daren yang akan berdepan Jonatan Christie pada pusingan pertama mengakui dia perlu melakar kejutan ke atas pemain Indonesia itu jika bercita-cita mara lebih jauh pada Kejohanan Dunia.

Pada 2013 di Guangzhou, China, Daren terkandas pada pusingan ketiga apabila tumpas kepada Chen Long 18-21, 15-21.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia