Harian Metro

Ketengah pemain pelapis

-

Kuala Lumpur: Ketiadaan Datuk Lee Chong Wei yang terpaksa digugurkan daripada skuad badminton negara ke Sukan Asia 2018 kerana masalah kesihatan membuka peluang kepada pemain muda untuk menyerlah dengan sasaran sekurang-kurangnya menyamai pencapaian empat tahun lalu apabila meraih pingat gangsa acara berpasukan.

Untuk itu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melaungkan cabaran kepada pemain muda untuk membuktika­n kemampuan sebenar mereka, sekali gus menghadiah­kan kejayaan buat Chong Wei yang terpaksa berehat sekurang-kurangnya sebulan selepas disahkan mengalami masalah pernafasan.

Setiausaha Kehormat BAM, Datuk Ng Chin Chai berkata, ketua jurulatih perseorang­an lelaki, Datuk Misbun Sidek ketika ini sedang membuat penilaian bagi menyenarai­kan pengganti Chong Wei bagi membawa cabaran ke temasya di Jakarta dari 19 hingga 28 Ogos depan.

“Kami dibenar untuk menyenarai­kan pengganti kepada Chong Wei berdasarka­n senarai panjang yang dihantar kepada MOM (Majlis Olimpik Malaysia) sebelum ini. Ada tiga pemain yang boleh dipertimba­ngkan iaitu Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Lim Chi Wing (gambar) dan Tan Jia Wei.

“Jadi, kami menunggu keputusan daripada Misbun dan jika cadanganny­a munasabah, kami akan ikut. Ketiadaan Chong Wei sudah pasti memberi tamparan kepada skuad badminton negara kerana dia pemain yang berpotensi menyumbang pingat untuk acara perseorang­an lelaki dan membantu dalam acara berpasukan.

“Namun, ketiadaann­ya juga membuka peluang kepada pemain muda untuk menyerlah. Jika kita lihat, pemain perseorang­an lelaki yang kita senaraikan rata-rata berusia di bawah 21 tahun.

“Ini satu cabaran untuk mereka dan mereka perlu galas cabaran ini demi ‘abang besar’ (Chong Wei) mereka,” kata Chin Chai ketika sidang media di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, semalam.

Sebagai rekod, pada edisi empat tahun lalu di Incheon, Korea Selatan, skuad badminton negara berjaya meraih gangsa acara berpasukan dan perseorang­an lelaki menerusi Chong Wei.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia