Harian Metro

Sumbangan kecil balas jasa Cikgu Lin

- Suraya Roslan cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: “Ini hanya sumbangan kecil untuk membalas jasa Cikgu Lin yang berkorban waktu mengajar kami hingga cemerlang. Selepas berbincang kami bersetuju melapangka­n waktu ketika cuti semester demi menjaga empat anak cikgu,” kata Nurul Najwani Zailan, 21.

Dia bersama tiga rakannya iaitu Norwana Idatul Abd Kadir, Norfarahan­a Mohamad Kamal dan Hidayatul Huda Kamarul Baharin, masing-masing berusia 21 tahun bergilir-gilir menetap di rumah Cikgu Lin di Kampung Bukit Kuching, Jeram, Selangor sepanjang ketiadaan guru itu yang mengerjaka­n haji tahun ini.

Empat gadis itu yang masing-masing penuntut Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) nekad menjaga empat anak guru itu iaitu Atiqah Nabilah Badros, 17, Azif Asyrafi, 15, Amsyar Darwisy, 10, dan Afrina Damia, 9, selepas melihat guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeram itu kemungkina­n terpaksa melupakan hasrat mahu menunaikan ibadat haji.

Penuntut UM itu berkata, kebetulan mereka berempat cuti semester dan ketika ditanya Cikgu Lin, mereka rela hati untuk menjaga empat anak guru mereka.

“Anak kedua guru iaitu Azif menghidap Cerebral Palsy (CP) dan dijaga datuknya yang tinggal bersebelah­an rumah Cikgu Lin.

“Kami hanya menjaga sekejap dan yang lain diuruskan datuknya, manakala tiga lagi memang dijaga kami yang bergilir-gilir menetap di rumah ini,” katanya yang juga tinggal di kampung sama.

Menurutnya, dia dan Nurwana Idatul akan menjaga setiap Isnin hingga Jumaat manakala dua lagi rakannya menjaga ketika hari minggu kerana mempunyai kerja sampingan.

“Ramadan lalu, ketika kami berkunjung ke rumah Cikgu Lin, dia menyuaraka­n keresahan hati yang mungkin terpaksa melupakan ibadat haji kerana ketiadaan orang menjaga anaknya.

“Sebaik mendengar perkara itu, kami memaklumka­n perkara berkenaan di dalam kumpulan WhatsApp sekolah dan ternyata empat daripada kami sudi untuk bergilir-gilir menjaga anak Cikgu Lin.

“Nasib baik Cikgu Lin beritahu awal. Kami kemudian melapangka­n jadual masing-masing ketika cuti semester bagi membolehka­n kami menjaga anak cikgu,” katanya.

Nurul Najwani berkata, Cikgu Lin yang juga guru Matematik Tambahan dan Matematik ketika mereka di tingkatan empat dan lima banyak berkorban masa untuk anak didik bagi memastikan mereka cemerlang dalam mata pelajaran itu.

“Dia sanggup membuat kelas tambahan khas untuk kami dan usaha ini antara sumbangan kecil kami sebagai membalas jasa Cikgu Lin.

“Diharap Cikgu Lin mendapat haji mabrur dan jangan risau mengenai anaknya kerana kami menganggap mereka seperti adik sendiri dan mampu menjaga dengan baik,” katanya.

 ??  ?? ANAK Cikgu Azlina bersama datuk mereka di kampung.
ANAK Cikgu Azlina bersama datuk mereka di kampung.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia