Harian Metro

Dua kelas prasekolah ditutup enam murid dijangkiti HFMD

-

Sungai Besar: Dua kelas di sebuah prasekolah di daerah ini menjadi yang pertama ditutup selepas enam murid disahkan dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Enam Hamidah Md Hashim berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sabak Bernam sudah mengarahka­n kelas itu ditutup selama dua minggu bermula semalam sehingga 8 Ogos.

Beliau berkata, enam murid itu yang dijangkiti terdiri daripada empat murid lelaki dan dua murid perempuan berusia lima serta enam tahun.

“Sebelum ini, semua mereka (murid) dikesan menghidap penyakit berjangkit itu pada Selasa dan semalam (Rabu) dan dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Besar serta Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) untuk menjalani pemeriksaa­n dan rawatan.

“Mereka turut diberi cuti kuarantin selama lima hari bermula semalam hingga Sabtu ini,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, selain murid, seorang guru yang mengajar di prasekolah itu turut diberi cuti kuarantin selama lima hari berikutan anaknya yang berusia lima tahun adalah salah seorang murid dijangkiti HFMD.

“Sebagai langkah pencegahan, pihak sekolah sudah menjalanka­n kerja pembersiha­n bilik prasekolah itu bermula kelmarin.

“Malah, satu taklimat pencegahan penyakit HFMD dan cara penjagaan kesihatan diri diberi kepada guru dan murid sekolah sewaktu perhimpuna­n pagi pada setiap hari,” katanya.

Beliau berkata, kejadian kes HFMD turut dilaporkan kepada pihak Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam.

Menurutnya, pihak sekolah sentiasa berhubung dengan ibu bapa enam murid itu untuk mengikuti perkembang­an kesihatan mereka.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia