Harian Metro

Pengsan di pangkuan suami

-

Jeli: Seorang wanita pengsan di pangkuan suaminya selepas rumah mereka dihempap pokok kelapa dalam kejadian ribut di Kampung Kalai di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, Nur Azila Zainuddin, 22, cedera di kepala dan dirawat di Hospital Jeli, di sini.

Suaminya, Mohd Azrol Azizi Adnan, 28, berkata, ketika kejadian, mereka minum petang bersama keluarga di ruang tamu rumah berkenaan.

Katanya, keadaan cuaca ketika itu mendung dan angin agak kencang.

“Tiba-tiba kedengaran satu dentuman kuat dan saya menyangka bunyi itu adalah guruh tanpa menyedari bahagian dapur dan bilik air rumah kami dihempap pokok kelapa.

“Isteri yang berada di ruang dapur meluru keluar mengadu sakit di bahagian kepala sebelum dia rebah di pangkuan saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Mohd Azrol Azizi berkata, isterinya segera dikejarkan ke Hospital Jeli apabila mendapati kedua-dua kaki wanita berkenaan kejang dan sukar untuk berdiri.

“Saya bersyukur kerana isteri selamat dan hanya cedera di kepala saja, mungkin terkena tandan atau pelepah pokok kelapa yang tumbang itu,” katanya.

Menurutnya, sebahagian besar bumbung dan dinding di ruang dapur dan bilik air rumahnya rosak teruk akibat kejadian berkenaan.

“Kerugian dianggarka­n RM10,000 termasuk kerosakan beberapa peralatan elektrik dan perkakas dapur,” katanya.

 ??  ?? KEADAAN dapur dan bilik air sebuah rumah yang rosak teruk dihempap pokok kelapa dalam kejadian ribut di Kampung Kalai.
KEADAAN dapur dan bilik air sebuah rumah yang rosak teruk dihempap pokok kelapa dalam kejadian ribut di Kampung Kalai.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia