Harian Metro

Selesai kes saman pusat tahfiz secara mediasi

-

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, meminta kes saman membabitka­n 10 waris dan tiga bekas pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiya­h, Datuk Keramat di sini, terhadap pemilik pusat tahfiz itu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutua­n (MAIWP) serta tiga lagi di Mahkamah Tinggi di sini, diselesaik­an secara mediasi.

Perkara itu dimaklumka­n peguam, Datuk Ahmad Zaharil Muhayar yang mewakili Mohd Zahid Mahmood dan Samsurini Mohd Anuwi, selepas pengurusan kes itu di kamar Pesuruhjay­a Kehakiman Darryl Goon Siew Chye di sini, semalam.

Menurutnya, mahkamah meminta saman itu cuba diselesaik­an secara mediasi terlebih dahulu dan menetapkan 1 Oktober ini untuk pengurusan kes.

Sementara itu, peguam Mohaji Selamat yang mewakili semua plaintif ketika ditemui berkata, mahkamah memerintah­kan defendan untuk menyerahka­n penyata kewangan bank membabitka­n kutipan derma bermula 14 September 2017 sehingga hari ini kepada pihaknya.

Beliau juga berkata, mahkamah turut mengarahka­n laporan audit berhubung derma itu juga diserahkan kepada pihaknya selewat-lewatnya sebelum 21 Ogos ini.

Turut hadir peguam Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili MAIWP.

Pada Jun lalu, sebahagian keluarga mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiya­h, Datuk Keramat, mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan saman sivil terhadap pemilik pusat tahfiz itu dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutua­n (MAIWP) yang didakwa cuai sehingga berlakunya tragedi menyayat hati itu.

Mereka menamakan, Mohd Zahid, Samsurini, MAIWP dan dua remaja yang didakwa membunuh 21 pelajar serta dua warden pusat tahfiz itu sebagai defendan.

Saman itu difailkan melalui Tetuan Mohaji, Hazury dan Ismail.

Semua plaintif antara lain menuntut deklarasi bahawa pemilik dan MAIWP melakukan kecuaian dan perlanggar­an tugas statutori apabila gagal memastikan kewujudan peralatan mencegah kebakaran di tangga jalan keluar dan pintu asrama pelajar.

Semua defendan didakwa gagal mewujudkan dua laluan pada bilik asrama di premis itu serta membenarka­n bangunan yang belum memiliki Perakuan Menduduki/Perakuan Siap dan Pematuhan untuk dijadikan asrama.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia