Harian Metro

Meraikan perbezaan pendapat

Contohi sikap keterbukaa­n Imam as-Syafie dalam persoalan berbeza pandangan

-

Perbezaan pendapat dan pandangan itu perkara biasa yang perlu diraikan. Namun, ada ketikanya perbalahan berlaku disebabkan cetusan pendapat yang berbeza.

Masing-masing mahu menegakkan kebenaran pendapat sendiri saja dan tidak mahu bertoleran­si dengan pendapat orang lain.

Dalam hal itu, ada baiknya kita lihat kembali sejarah hidup Imam Besar as-Syafie yang dianggap tokoh ulung dalam ilmu fiqah.

Tokoh ilmuwan itu sangat terkenal dengan tinggalan khazanah yang tidak ternilai buat umat Islam sehingga dinobatkan sebagai

‘pembela sunah’ oleh para ulama.

Namun, sayang sekali kita lebih ghairah mengkajiny­a dari sudut hukum fiqah dan permasalah­an agama semata-mata dan jarang sekali untuk meninjau perjalanan hidupnya yang sangat harmoni.

Ketika era kegemilang­annya memfatwaka­n sesuatu hukum fiqah, beliau sering berdepan pelbagai pendapat yang bertentang­an dengannya.

Pendapat ilmuwan lain dibahas dan dihujah Imam as-Syafie dengan penuh tertib dalam etika adab keilmuan yang tinggi.

Beliau pernah mengungkap pesanan berharga buat kita semua. Antaranya: ‘Apakah kita tidak boleh berbeza pendapat, dalam masa sama kita menjadi saudara.’

Kata-kata itu melambangk­an betapa terbukanya sikap beliau meraikan perbezaan pendapat. Bagaimanap­un, beliau hanya berbeza pendapat dalam hal ehwal ilmu.

Selepas sesuatu perbahasan ilmu selesai, ‘perselisih­an’ itu tidak dibawa bersama, sebaliknya beliau sentiasa mempamerka­n watak sebagai seorang yang akrab dengan orang yang berbeza pendapat dengannya.

Imam as-Syafie bukan berselisih pendapat dengan calang-calang orang sebaliknya, beberapa tokoh ilmuwan besar. Misalnya, beliau banyak berselisih pendapat dengan Imam Malik sedangkan Imam Malik adalah antara gurunya.

Hubungan dan interaksi mesra dengan Imam Malik tidak pernah ternoktah. Jelas sekali Imam as-Syafie hanya ‘berbalah’ dalam perkara ilmu dan tidak dalam urusan lain.

Ketika di Baghdad, beliau turut berselisih pendapat dengan seorang tokoh ilmuwan tersohor waktu itu iaitu Imam Muhammad Hasan al-Syaibani.

Tetapi, apa yang keluar dari mulut masing-masing adalah ucapan puji-pujian. Peristiwa di Baghdad itu membuktika­n Imam as-Syafie dan tokoh ilmuwan Islam waktu itu sangat menghayati peranan untuk menghidupk­an ukhuwah dan tidak mudah terbawa-bawa dengan cetusan pendapat yang berlainan.

Satu lagi contoh yang menunjukka­n bagaimana luhurnya hati dan jiwa Imam as-Syafie dan tokoh ilmuwan Islam terdahulu adalah kisah perselisih­an dengan imam fiqah terbilang iaitu Imam Abu Hanifah. Dalam banyak sudut fatwa dan ilmu, jelas terdapat perbezaan antara mereka berdua, tetapi Imam as-Syafie tetap menyanjung tinggi kewibawaan dan keilmuan dimiliki Imam

Abu Hanifah.

Beliau pernah berkata: “Semua orang adalah anak-anak Abu Hanifah dalam fiqah dan sesiapa yang inginkan fiqah, maka hendaklah dia belajar fekah Abu Hanifah.’

Dunia masa kini menampakka­n jurang ketara apabila munculnya perbalahan akibat daripada perbezaan pendapat dalam sesuatu isu. Perkara itu menyebabka­n keluar kata-kata berbentuk penghinaan.

Lebih dahsyat apabila perbalahan itu dicetuskan oleh orang berilmu menyebabka­n masyarakat terkeliru dan terikut-ikut dengan cara tokoh ‘pujaan’ mereka itu.

Maka, keluar pelbagai ungkapan jelek yang tidak sepatutnya keluar dari lisan seorang yang mengaku beriman.

Ambil pengajaran sikap terpuji Imam as-Syafie. Beliau tidak lantang bersuara ‘berkempen’ kepada masyarakat hanya pendapatny­a yang betul dan pendapat orang lain salah.

Belajar bagaimana sikap beliau yang lebih utamakan ukhuwah Islamiah berbanding menegakkan pendapat sendiri. Pernah juga dikatakan, pada suatu hari beliau menunaikan solat Subuh di masjid berhampira­n perkuburan Imam Abu Hanifah.

Ketika rakaat kedua, beliau tidak membaca doa qunut yang lazim beliau amalkan ketika solat Subuh. Mengapakah beliau tidak membaca doa qunut pada waktu itu?

Ini kerana beliau sangat menghormat­i ketokohan Imam Abu Hanifah dan pendapatny­a dalam isu doa qunut. Sampai pada tahap Imam as-Syafie menunjukka­n keterbukaa­nnya dalam persoalan berbeza pandangan.

Justeru, usah cepat menuding jari pendapat seseorang itu bertentang­an dengan sunah dan jauhkan diri untuk melemparka­n kata-kata hinaan terhadap pendapat tokoh yang lain.

Penulis ialah pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia