Harian Metro

Dua rakan maut rempuh pacuan empat roda

-

Bukit Beruntung: Dua rakan karib maut sejurus motosikal ditunggang merempuh belakang pacuan empat roda di Kilometer 430.7, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat susur masuk Plaza Tol Bukit Beruntung arah Selatan.

Dalam nahas jam 2 pagi semalam, mangsa, Alif Mustaqim Azizuddin, 16, dan pembonceng Muhammad Zahin Abdullah, 16, maut di lokasi kejadian selepas melanggar pacuan empat roda Mitsubishi Triton yang berhenti di bahu lebuh raya.

Kejadian berlaku ketika mangsa bersama beberapa rakan lain yang menunggang motosikal berasingan dalam perjalanan dari Bukit Beruntung ke Bandar Sungai Buaya.

Saksi kejadian yang juga penumpang pacuan empat roda itu, Muhammad Naim Rosli, 20, berkata, dia terkejut melihat rempuhan itu ketika berada di tepi kenderaan itu.

“Saya duduk di besi penghadang lebuh raya sebelum melihat mangsa tercampak dan tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurut Naim, sebelum nahas itu berlaku, terdapat kemalangan lain membabitka­n tiga motosikal di kawasan sama.

“Kami segera ke lokasi untuk memberikan bantuan selepas mendapat panggilan kecemasan daripada salah seorang mangsa yang juga rakan.

“Saya nampak kedua-kedua mangsa menunggang motosikal sambil menoleh ke belakang dipercayai untuk melihat kemalangan awal. Mungkin mereka tidak menyedari pacuan empat roda ini berhenti di bahu jalan menyebabka­n rempuhan itu berlaku,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia