Harian Metro

Jeritan hura-hara

-

„ Rakyat Malaysia kongsi detik cemas berdepan gempa bumi

“Keadaan ketika itu sangat kelam-kabut serta hingar-bingar dengan jeritan orang ramai. Cermin pada lantai mula pecah dan dinding pula retak.

“Saya cuma terfikir mahu keluar dari bilik hotel menyelamat­kan diri dan lari ke atas bukit kerana menyangka tsunami bakal berlaku,” kata rakyat Malaysia yang hanya mahu dikenali sebagai Ezy, 26, yang bercuti di Pulau Gili Terawagan ketika gempa bumi dengan kekuatan 7 magnitud melanda kepulauan Lombok, kelmarin.

Menurut Ezy, sebelum kejadian dia bersama tiga rakan baru selesai menjalanka­n aktiviti snorkeling dan pulang ke hotel jam 5.30 petang waktu tempatan.

“Saya dan seorang rakan sebilik terlelap selama sejam, namun terjaga selepas terasa gegaran kuat dan kedengaran suara jeritan.

“Kami tergamam melihat almari di dalam hotel bergegar, lampu jatuh serta cermin pada lantai pecah sebelum terdengar jeritan pekerja hotel menyuruh kami keluar menyelamat­kan diri,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Katanya, dalam keadaan kelam-kabut dia lari menyelamat­kan diri dan orang ramai diarahkan naik ke bukit berhampira­n kerana bimbang berlaku tsunami.

“Ketika kejadian, saya dan rakan hanya memakai tuala, mujur ada pihak yang sudi memberi kami pakaian ketika berada di atas bukit berkenaan.

“Kami menunggu di situ selama 11 jam hingga jam 6.30 pagi. Apabila keadaan selamat, kami balik ke hotel mengemas barangan dan menuju ke jeti untuk balik ke Lombok,” katanya yang berasal dari Melaka.

Katanya, dia amat terkejut dengan kesan gempa berkenaan apabila melihat banyak bangunan kedai rosak teruk selain dimaklumka­n ada tiga kematian.

Selain itu, kekalutan turut berlaku ketika menunggu bot ke Lombok susulan hanya dua bot digunakan untuk memindahka­n penduduk serta pelancong yang berada di Gili Terawangan ke Lombok dan Bali.

Pengalaman ngeri itu turut dikongsi Pakar Kajian Strategik dan Anti Keganasan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIP), Dr Mizan Mohammad Aslam yang kebetulan berada di Lombok menghadiri forum antikegana­san di Mataram, Lombok.

“Ketika gempa berlaku, semua delegasi forum menghadiri majlis makan malam di tingkat 12 Hotel Golden Palace yang turut dihadiri Menteri Koordinato­r Bidang Politik, Hukum dan Keamanan Indonesia, Wiranto.

“Tiba-tiba bangunan bergoyang dan terasa gegaran amat kuat hingga ada antara kami jatuh, terpelanti­ng selain terdengar jeritan ketakutan, pinggan mangkuk turut bertaburan dan pecah. Gegaran berlaku 10 saat,” katanya.

Beliau berkata, dia dan empat rakan delegasi dari Malaysia serta lebih 40 lagi peserta forum bergegas menuruni tangga keluar dari hotel dan berkumpul di atas jalan, satu-satunya kawasan lapang di situ.

“Lebih dua jam kami berada di situ dan pada masa sama berlaku dua lagi gegaran kuat selang beberapa minit daripada gegaran pertama disusuli beberapa gegaran kecil.

“Kami dibenarkan naik ke bilik hotel untuk mengambil barangan sebelum pihak hotel menghantar kami ke Lapangan Terbang Antarabang­sa Lombok dan bermalam di bilik VIP di sana,” katanya.

Katanya, semua peserta forum dipindahka­n ke Jakarta menggunaka­n pesawat C130 milik Tentera Nasional Indonesia (TNI) jam 11 pagi, semalam.

Sementara itu, pendakwah rakyat Malaysia, Dr Riduan Mohamad Nor yang kebetulan berada di Lapangan Terbang Antarabang­sa Lombok untuk penerbanga­n pulang ke Malaysia selepas mengikuti rombongan Muslim Care Malaysia di kaki Gunung Rinjani, berkongsi pengalaman menerusi akaun Facebook miliknya berhubung kejadian itu.

“Satu pengalaman yang tak dapat dilupakan ialah goncangan gempa bumi saat kaki kami melangkah ke dewan pelepasan.

“Bandara Antarabang­sa Lombok bergegar kuat walaupun struktur bangunan kukuh menampung lapangan terbang yang mula menerima ramai kehadiran pelancong luar negara.

“Saya pada mulanya menyangka gegaran itu akibat daripada pesawat mendarat, namun tiang bangunan bergegar kuat sehingga kerangka dinding kaca turut rentak,” katanya.

Katanya, beliau dan beberapa teman lain melaungkan azan ketika menyelamat­kan diri sebelum berhimpun di luar pintu utama depan terminal, manakala sebahagian lain di kawasan berhampira­n landasan.

 ??  ?? PESERTA forum serta orang ramai menyelamat­kan diri ke jalan raya sejurus gempa berlaku.
PESERTA forum serta orang ramai menyelamat­kan diri ke jalan raya sejurus gempa berlaku.
 ??  ?? DR Mizan (dua dari kanan) bersama rakan dari Malaysia yang sepatutnya menyertai forum antikegana­san selama dua hari di Lombok.
DR Mizan (dua dari kanan) bersama rakan dari Malaysia yang sepatutnya menyertai forum antikegana­san selama dua hari di Lombok.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia