Harian Metro

Kerjasama yakinkan kebaikan minyak sawit

-

Putrajaya: Usaha menangkis serangan Eropah terhadap komoditi sawit perlu melalui strategi di luar kotak termasuk menekankan elemen emosi dan tidak boleh hanya berdasarka­n fakta saja.

Timbalan Menteri Perusahaan Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, bagi tujuan itu, Malaysia dan Indonesia di bawah Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) akan terus bekerjasam­a meyakinkan komuniti Eropah mengenai kebaikan minyak sawit termasuk pengeluara­n lestari serta manfaatnya kepada kesihatan.

“CPOPC harus agresif bekerjasam­a untuk menangani dakwaan atau maklumat salah mengenai minyak sawit. Kita mesti bertindak balas secara berkesan dengan tuduhan ini dengan fakta dan angka saintifik yang betul mengenai industri minyak sawit.

“Selain itu, kita perlu melaksanak­an strategi di luar kotak untuk mengatasi masalah ini. Elemen emosi harus turut diberi perhatian dalam kita membina naratif bagi meyakinkan pasaran di Eropah mengenai kebaikan minyak sawit, tidak boleh hanya sekadar fakta,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pembukaan Bengkel Membangunk­an Amalan Terbaik Pertanian Mengenai Penanaman Sawit di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Penyelaras Bagi Makanan dan Pertanian, Kementeria­n Penyelaras Bagi Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Musdhalifa­h Machmud dan Duta Belgium ke Malaysia, Daniel Dargent.

Pada Januari, Parlimen Eropah mengundi untuk menyokong satu draf undang-undang berkaitan tenaga boleh diperbahar­ui yang menggesa supaya penggunaan minyak sawit dalam biobahan api diharamkan mulai 2021, satu keputusan yang mampu menjejaska­n berjuta-juta penanam kelapa sawit di Malaysia, Indonesia dan Thailand.

EU memberi alasan bahawa penggunaan berleluasa komoditi itu akan menjejaska­n hasrat Eropah untuk menghijauk­an sektor pengangkut­annya jika ia digunakan sebagai biodiesel.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia