Harian Metro

Nauraj ke Sukan Asia tanpa Stewart

- Jumiati Rosly jumiati@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Susulan kontrovers­i yang membabitka­n jurulatih lompat tinggi kebangsaan Alex Stewart, Nauraj Singh Randhawa tidak akan diiringi jurulatih berkenaan ke Sukan Asia Jakarta-Palembang mulai 18 Ogos ini apabila pengendali itu dikatakan tidak dibenarkan bersama kontinjen negara ke temasya sukan terbabit.

Ia diakui sendiri Nauraj, pemenang tiga pingat emas Sukan SEA itu ketika temasya sukan terbesar Asia semakin hampir.

“Stewart tidak akan berada di sana kerana laporan media tempoh hari menyebabka­n beliau tidak dibenarkan berada di Sukan Asia.

“Ini semua kerana media memperbesa­rkan isu tentang beliau (Stewart) melatih saya dan Brandon (Starc, atlet Australia) dalam masa yang sama. Jadi beliau tidak dibenarkan dan beliau juga tidak mahu ke sana (Jakarta),” kata Nauraj.

Pada Sukan Komanwel di Gold Coast April lalu, Stewart yang menyarung pakaian rasmi kontinjen Malaysia mencipta kontrovers­i apabila memeluk pemenang pingat emas, Brandon Starc yang juga anak didiknya serta menyerahka­n bendera Australia kepada atlet terbabit.

Ketika ditanya perasaanny­a yang akan ke temasya itu tanpa kehadiran jurulatih, Nauraj berkata: “Saya seorang yang berdikari. Sebelum ini saya juga bertanding tanpa beliau (Stewart).

“Saya tidak katakan ini adalah yang terbaik kerana sudah jelas yang adalah lebih baik jika ada jurulatih bersama. Tetapi jika beliau tiada, saya akan lakukan apa yang termampu.”

Nauraj berkata, jurulatihn­ya itu baru tiba dari Australia kelmarin dan hanya akan berada selama seminggu di negara ini untuk membimbing­nya serta Lee Hup Wei.

“Matlamat utama untuk Stewart berada di sini adalah bagi membolehka­n kami lakukan kerja teknikal. Agak sukar melakukan latihan teknikal jika menerusi rakaman video.

“Dengan kehadiran beliau, adalah mudah bagi saya memperoleh maklum balas terus dan pasti memberi impak pada setiap sesi latihan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia