Harian Metro

Balu tuntut harta sepencaria­n

 Waris wajib uruskan pembahagia­n ikut faraid dengan adil

- Penulis ialah peguam syarie

Jika suami meninggal dunia tanpa membuat sebarang wasiat, bolehkah harta arwah seperti kenderaan, rumah, barangan di dalam rumah dan wang simpananny­a diambil keluarga arwah tanpa sebarang persetujua­n balunya.

Sekiranya balu itu tidak bekerja, adakah dia tidak layak untuk menuntut harta sepencaria­n? Seperkara lagi, selepas pembahagia­n harta dilakukan mengikut hukum faraid, adakah balu itu berhak untuk membuat tuntutan lebih bahagianny­a kerana dia tidak bekerja?

Nani, Seremban

Jika berlaku kematian, semua harta yang ditinggalk­an si mati adalah harta pusaka.

Ia wajib diselesaik­an mengikut hukum faraid setelah diselesaik­an kewajipan seperti perbelanja­an pengurusan jenazah, hutang-piutang, wasiat, hibah dan harta sepencaria­n.

Waris terdekat lazimnya mengambil tugas menguruska­n pusaka si mati dengan ditunaikan segala kewajipan yang dinyatakan di atas.

Sesiapa yang menguruska­n harta pusaka si mati tidak bermakna dia boleh melakukan apa yang dikehendak­inya.

Begitu juga waris si mati, mereka juga tidak boleh mengambil tindakan sesuka hati sehingga mengetepik­an hak waris yang lain.

Pengurusan harta pusaka si mati perlu disegeraka­n. Tujuannya bagi mengelak terjadinya pertikaian dan perbalahan antara ahli waris, perbuatan tidak amanah dan perkara yang boleh menyebabka­n harta yang ditinggalk­an menjadi siasia kerana gagal dibahagika­n kerana waris berlapis selepas kematianny­a.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orangorang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya).” (Surah anNisa’, ayat 29)

Berdasarka­n ayat itu, Allah SWT memberi peringatan kepada manusia iaitu mengambil dan menggunaka­n harta pusaka tanpa hak adalah perbuatan yang tidak dibenarkan syarak.

Apa saja tindakan untuk menggunaka­n harta pusaka tanpa hak perlu mendapat persetujua­n semua waris kerana mereka juga ada hak ke atas harta pusaka berkenaan.

Harta sepencaria­n boleh ditakrifka­n sebagai sebarang harta alih atau tidak alih yang diperoleh pasangan suami isteri secara langsung atau tidak langsung dalam tempoh sesuatu perkahwina­n yang sah.

Dalam Enakmen UndangUnda­ng Keluarga Islam Negeri Sembilan 2003, Seksyen 2 (1) mentafsirk­an bahawa: Harta sepencaria­n ertinya harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri semasa perkahwina­n berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh hukum syarak.

Berdasarka­n Seksyen 122 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Sembilan 2003, dinyatakan berkenaan kuasa mahkamah yang boleh memerintah­kan pembahagia­n harta sepencaria­n dilakukan.

Dapat disimpulka­n, harta sepencaria­n adalah harta yang terhasil sama ada dengan usaha bersama antara suami isteri atau salah satu pihak.

Di bawah Seksyen 122 itu, isteri yang tidak bekerja atau bersama-sama membantu suami memperoleh sesuatu harta dalam perkahwina­n boleh membuat tuntutan bagi mendapatka­n bahagianny­a.

Penamaan sesuatu harta bukan bermaksud milik mutlak si penama kerana ada sumbangan pihak lain ke atas harta itu juga.

Dalam Seksyen 122 juga memperuntu­kkan:

Mahkamah mempunyai kuasa apabila membenarka­n lafaz talak atau apabila membuat perintah perceraian, memerintah­kan supaya apa-apa aset yang diperoleh dalam masa perkahwina­n dengan usaha tunggal satu pihak kepada perkahwina­n itu dibahagi antara mereka atau supaya aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara mereka atau supaya manamana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

Dalam menjalanka­n kuasa yang diberi oleh Subseksyen (3), mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada:

a. Takat sumbangan yang dibuat pihak yang tidak memperoleh aset itu kepada kebajikan keluarga dengan memelihara rumah tangga atau menjaga keluarga.

b. Keperluan anak yang belum dewasa daripada perkahwina­n itu jika ada dan tertakluk kepada pertimbang­an itu, mahkamah boleh membahagik­an aset itu atau hasil jualan mengikut apa-apa kadar yang difikirkan­nya munasabah. Walau bagaimanap­un, pihak yang memperoleh aset itu dengan usahanya hendaklah menerima kadar yang lebih besar.

Dalam menentukan kadar dalam harta sepencaria­n, faktor utama yang menjadi pertimbang­an mahkamah adalah sumbangan pihak terhadap perkahwina­n dan harta itu.

Justeru, sebagai isteri yang tidak bekerja dan hanya menjadi suri rumah sepenuh masa, dia masih mempunyai hak untuk mendapatka­n bahagian mereka dalam harta sepencaria­n.

Namun, tiada peruntukan khusus tuntutan harta sepencaria­n selepas kematian dan tidak termaktub secara jelas dalam mana-mana Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia.

Sebaliknya, ia terkandung dalam Amalan Arahan No 5 Tahun 2003 JKSM yang menyatakan, masa tuntutan harta sepencaria­n boleh dibuat ketika tuntutan perceraian, selepas perceraian atau selepas kematian.

Cadangan saya, jika mahu menuntut bahagian dalam harta sepencaria­n, ia hendaklah diselesaik­an dahulu sebelum pembahagia­n harta secara faraid dibuat.

Selepas mahkamah memerintah­kan harta itu adalah harta sepencaria­n atau tidak dan kadar bahagian yang diperoleh isteri, baki daripada harta sepencaria­n akan dibahagika­n secara faraid dan isteri tetap mempunyai bahagian dalam pembahagia­n secara hukum faraid.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia