Harian Metro

Polis ambil keterangan beberapa individu

-

Kuala Lumpur: Polis sudah mengambil keterangan beberapa individu susulan kematian Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan yang ditemui meninggal dunia dalam kebakaran di bilik bahagian atas rumahnya di Mutiara Homes, Petaling Jaya, 14 Jun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, rakaman keterangan itu dibuat selepas polis menerima laporan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan membuka semula kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Buat masa ini kita sudah mengambil keterangan beberapa individu dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Difahamkan, turut dirakam keterangan adalah ahli keluarga mangsa yang berada di rumah ketika kebakaran berlaku.

Ditanya sama ada polis sudah mengenal pasti suspek terbabit kes itu, beliau enggan mengulas lanjut dan memaklumka­n siasatan terperinci dijalankan membabitka­n pelbagai aspek.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Penyiasata­n Kebakaran JBPM Selangor Hafisham Mohd Noor ketika dihubungi, di sini, semalam, mengesahka­n sudah menyerahka­n laporan forensik di lokasi kejadian kepada polis.

Malah, pada 25 Jun lalu, Ketua Pengarah JBPM, Mohammad Hamdan Wahid memaklumka­n pihaknya menemui beberapa ‘input’ baru dan sampel tertentu dibawa ke makmal forensik JBPM untuk siasatan lanjut.

Katanya, hasil penemuan itu, JBPM kemudian menyerahka­n laporan akhir forensik di tempat kejadian kepada polis.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia