Harian Metro

Menangis dituduh miliki rokok seludup

-

Petani: Wanita menangis teresak-esak selepas mengaku tidak bersalah sebaik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan memiliki 73 karton rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM1,108 pada 2016.

Tertuduh, Zunita Md Udin, 49, yang juga pemilik kedai runcit di Taman Nilam di sini, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Arif Mohamad Shariff dan minta dibicaraka­n.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki barang larangan import itu di sebuah premis di Taman Nilam, di sini, pada jam 4.30 petang, 26 April 2016.

Rokok itu dilarang pengimport­annya mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012 kecuali dengan cara diperuntuk­kan mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012 Jadual Ketiga, Bahagian II, Butiran I.

Dia didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(iii) akta sama.

Jika sabit kesalahan Zunita boleh didenda maksimum 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Prosiding kes dikendalik­an Penolong Pengarah Kastam Cawangan Pendakwaan Kedah, D Karthy Gasedev manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Karty turut meminta mahkamah membenarka­n tertuduh diikat jamin RM3,000 namun Zurita merayu dikurangka­n kerana perlu menjaga suami sakit dan anak yang bersekolah.

Bagaimanap­un, Arif Mohamad menetapkan wang ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan 28 Ogos ini tarikh sebutan semula kes.

Zurita yang terkejut dengan jumlah wang ikat jamin itu kemudian menangis teresak-esak ketika dibawa keluar dari mahkamah untuk proses ikat jamin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia