Firmino lonjak Reds akhiri pramusim
London: Roberto Firmino menyerlah ketika Liverpool memuktamadkan aksi pramusim mereka dengan kemenangan selesa 3-1 ke atas pasukan dari Itali, Torino di Anfield, awal pagi semalam.
Meskipun dijadual membuka kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang West Ham, Ahad ini, Jurgen Klopp membariskan pasukan berkaliber selain pemain tonggak turut diberikan masa permainan berharga.
Penyerang Brazil, Firmino beraksi di babak pertama meletakkan Liverpool di depan sebelum membantu pemain tengah, Georginio Wijnaldum meledak gol kedua.
Penyerang Itali, Andrea Belotti mengurangkan defisit jaringan buat pelawat menerusi tandukan tetapi sebaik saja Klopp melakukan pertukaran pemain, Daniel Sturridge menyempurnakan hantaran Xherdan Shaqiri bagi melengkapkan jaringan kali ketiga berturut-turut dalam perlawanan persahabatan.
Penjaga gol baru, Alisson memulakan aksi bersama Liverpool sebelum Loris Karius diberi peluang menggantikan pemain Brazil itu di babak kedua.
Karius diberi peluang beraksi hanya dua bulan selepas mengalami gegaran otak dan melakukan dua kesilapan ketika final Liga Juara-Juara yang menyaksikan Liverpool tewas 1-3 di tangan Real Madrid.
Sementara itu, Chelsea diikat tanpa jaringan dengan Lyon di Stamford Bridge sebelum penjaga gol veteran, Rob Green menafikan jaringan daripada penentuan sepakan penalti bagi menjamin kemenangan 5-4.