Harian Metro

Apa nak takut...

Raja Azlan yakin anak buah kekal fokus jumpa Indonesia

- Aziman Rosdi aziman@nstp.com.my

Jurulatih skuad bawah 16 tahun (B-16) negara, Raja Azlan Shah Raja Sho’ib percaya anak buahnya sudah bersedia mengharung­i ‘gelora’ menentang musuh ketat, Indonesia pada aksi separuh akhir Kejohanan Persekutua­n Bolasepak Asia Tenggara (AFF) 2018, hari ini.

Perlawanan tumpuan di Stadium Gelora Delta Sidoarjo itu menjadi kenyataan apabila Malaysia muncul naib juara Kumpulan B dengan menewaskan Laos 1-0 pada aksi terakhir, kelmarin manakala pasukan tuan rumah unggul dengan rekod bersih lima kemenangan sebagai juara Kumpulan A.

Malah, insiden penyokong tuan rumah melaungkan kata-kata kesat ‘Malaysia itu anjing’ dan juga ‘Amirul itu anjing’ ketika skuad negara turun beraksi menentang Thailand pada 30 Julai lalu pasti membayangi aksi hari ini.

Tindakan penyokong Indonesia itu tercetus gara-gara pemain muda negara, Amirul Ashrafiq Hanifah dituduh menghina bendera Indonesia apabila meletakkan bendera terbalik dalam Instagram Story miliknya ketika membuat ucapan ringkas sebelum berlepas ke Surabaya.

Namun, Amirul sudah menyatakan permohonan maaf secara terbuka dan menjelaska­n ia bukan provokasi sebaliknya hanya kesilapan meletakkan bendera Poland.

Malah, ini kali kedua skuad muda negara berdepan Indonesia di separuh akhir selepas skuad B-19 mengalahka­n pasukan tuan rumah di stadium sama menerusi sepakan penalti 3-2 selepas aksi sebenar terikat 1-1 pada 13 Julai lalu.

Kekalahan itu sukar diterima penyokong tuan rumah yang bertindak membaling batu dan botol ke arah pemain serta pegawai selepas tamat permainan.

Di sebalik semua insiden itu, Raja Azlan bagaimanap­un yakin semua pemain kekal fokus meskipun bakal berdepan provokasi penyokong tuan rumah.

“Menentang Indonesia, kami akan bermain mengikut kekuatan kami dan bermain seperti biasa tanpa ada apa-apa masalah. Saya percaya pemain kami cukup bersedia.

“Tak perlu risau kerana tahap keselamata­n terjamin. Namun mereka ini pemain muda berbakat yang belum masa lagi layak untuk dimaki hamun tanpa sebab. Mereka ini perlu kita beri sokongan moral dalam proses pembanguna­n mereka,” katanya ketika dihubungi Sukan NSTP di Surabaya, semalam.

Sementara itu, Pengurus skuad bawah 16 tahun negara (B-16), Datuk S Sivasundar­am menasihatk­an agar semua pemain kekal fokus dan tidak melayan sebarang provokasi penyokong tuan rumah apabila turun beraksi pada separuh akhir Kejohanan AFF di Surabaya hari ini.

Beliau berkata, biarpun Stadium Delta Sidoarjo dijangka bakal dipenuhi penyokong tuan rumah, pemain negara tidak perlu bimbang kerana pihak Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) sudah memberi jaminan keselamata­n.

“Kita jangkakan stadium akan penuh esok dan pemain bakal beraksi dalam suasana yang tidak pernah mereka lalui sebelum ini. Tapi pemain tidak perlu bimbang, pihak tuan rumah (PSSI) sudah memberi jaminan keselamata­n.

“Kita berterima kasih kepada PSSI kerana memberi kerjasama yang baik sepanjang pasukan berada di sini. Jadi apa yang perlu dilakukan pemain adalah menumpukan permainan di dalam padang, tak perlu hiraukan penyokong,” katanya ketika dihubungi Sukan NSTP, semalam.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia