Harian Metro

Azam gesa rakan lebih garang

- Asrol Awang sukanteam@nstp.com.my

Kuantan: Pemain tengah Pahang, Nor Azam Azih tidak menafikan skuad Tok Gajah kurang bertenaga pada aksi pembukaan kempen Piala Malaysia selepas sekadar seri 1-1 dengan Sabah, Sabtu lalu.

Pemain berumur 23 tahun itu menegaskan, mereka perlu menambah sumber kekuatan jika mahu memberi saingan di peringkat kumpulan dengan dua lagi lawan sukar menanti selepas ini, iaitu Selangor dan PKNP FC.

“Kami tidak boleh membenarka­n lawan meraih walaupun satu mata pada perlawanan kedua nanti jika mahu melangkah ke suku akhir piala berprestij ini.

“Persefaham­an dan komitmen semua pemain akan menjadi kekuatan pasukan untuk mencatat kemenangan terutama jentera serangan lebih tajam untuk membolosi gawang lawan,” kata pemain kelahiran FELDA Jengka 21, Maran, Pahang itu.

Nor Azam yang juga bekas pemain Harimau Muda B berkata, perlawanan kedua bertemu Selangor di Stadium Shah Alam Sabtu ini, diharap memihak kepada skuad Tok Gajah.

Keputusan seri 1-1 dengan Sabah pada aksi sulung sebelum ini perlu dijadikan pencetus semangat untuk kembali meletakkan Pahang pada prestasi lebih baik.

“Tapi, saya percaya Red Giants yang tewas 0-3 kepada PKNP sudah pasti tidak mahu mengulangi­nya sekali lagi di laman sendiri. Mereka sudah pasti mahu bangkit untuk memulih kekecewaan.

“Oleh itu, tempoh menjelang pertemuan itu akan dimanfaatk­an untuk membentuk gandingan terbaik dalam usaha mengutip tiga mata di tempat lawan.

“Dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia, setiap pasukan tidak boleh kehilangan mata dan perlu menang untuk mengisi slot suku akhir lebih awal dan bukan menunggu perlawanan terakhir,” katanya.

 ?? Nor Azam Azih FOTO: IHSAN PAHANG FA ?? Kami tidak boleh membenarka­n lawan meraih walaupun satu mata pada perlawanan kedua nanti”
Nor Azam Azih FOTO: IHSAN PAHANG FA Kami tidak boleh membenarka­n lawan meraih walaupun satu mata pada perlawanan kedua nanti”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia