Harian Metro

‘Tidak boleh tuduh tanpa bukti kukuh’

-

Kuala Lumpur: “Ia satu tuduhan serius dan tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya tanpa bukti kukuh. Selain laporan polis saya juga akan membuat laporan di Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok (hari ini),” ujar Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang tampil membuat laporan polis terhadap dakwaan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa RM18 bilion wang tuntutan GST yang sepatutnya dibayar balik kepada peniaga ‘dirompak’ kerajaan Barisan Nasional (BN).

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini, jam 2 petang, semalam.

Bercakap kepada pemberita selepas selesai membuat laporan itu, Khairy berkata, laporan itu dibuat bagi memastikan siasatan oleh pihak berkuasa dapat dibuat selepas menyifatka­n siasatan dalaman yang sedang dilakukan Kementeria­n Kewangan tidak mencukupi.

“Jika ia satu tuduhan melakukan rompakan, ia sudah menjadi satu kesalahan dan satu siasatan terbuka perlu dibuat.

“Kami juga bagi pihak Barisan Nasional mahu membersihk­an nama kerajaan yang lepas, sekiranya berlaku rompakan maka bawalah mereka yang terbabit ke muka pengadilan, sekiranya tidak maka perlu dijelaskan tuduhan tersebut tidak tepat dan tidak benar,” katanya.

Kelmarin ketika membentang­kan RUU GST (Pemansuhan) 2018 di Dewan Rakyat, Guan Eng berkata, kerajaan akan berusaha melunaskan tunggakan tuntutan cukai input bagi GST mulai tahun depan.

Katanya, tunggakan pembayaran bagi tuntutan cukai input GST sejak 1 April 2015 hingga 31 Mei lalu berjumlah RM19.4 bilion.

Bagaimanap­un, baki semasa dalam Tabung Bayaran Balik hanya RM1.49 bilion, bermakna berlaku kekurangan kira-kira RM18 bilion.

Guan Eng berkata, RM18 bilion itu dianggap sebagai hasil kerajaan tetapi digunakan untuk menutup defisit yang membawa kepada kekurangan berkenaan.

Susulan itu, satu siasatan dalaman giat dilakukan oleh Kementeria­n Kewangan bagi mengenal pasti punca penguranga­n RM18 bilion itu.

 ?? FOTO: ?? KHAIRY ditemu bual selepas membuat laporan polis berhubung dakwaan Guan Eng mengenai ‘rompakan’ RM18 bilion oleh kerajaan BN terdahulu di IPD Sentul, semalam.
FOTO: KHAIRY ditemu bual selepas membuat laporan polis berhubung dakwaan Guan Eng mengenai ‘rompakan’ RM18 bilion oleh kerajaan BN terdahulu di IPD Sentul, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia