Harian Metro

‘TINGGAL RM1.90 JE!’

- Hassan Omar cnews@nstp.com.my

„ Penoreh getah mengeluh harga

bahan mentah semakin susut

“Kerajaan harus melihat masalah harga getah yang terlalu rendah sekarang kerana kami rasa tidak berbaloi memerah keringat dengan hasil yang sangat rendah,” kata penoreh getah, Abdul Manan Husin, 74.

Dengan harga getah beku semasa RM1.90 sekilogram (kg), warga emas berasakan keringatny­a dan isteri, Zaharah Ahmad, 66, menoreh seolah-olah tidak setimpal dengan pendapatan yang diperoleh.

Bagaimanap­un, mereka tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa meneruskan kerja yang sudah sebati dengan diri sejak berusia belasan tahun demi mencari sesuap nasi.

Abdul Manan berkata, dia tidak sanggup membiarkan saja kebun getah seluas 0.8 hektar di Kampung Ramuan Cina Kecil, Masjid Tanah itu tanpa ditoreh kerana hanya itulah aset yang dimilikiny­a bagi mendapatka­n rezeki.

“Sudah terlalu lama harga getah berada bawah RM2 kg. Harga paling tinggi pula adalah RM4.70 kg pada Januari tahun lalu, tetapi ia bertahan hanya kira-kira dua minggu sebelum merudum selepas itu.

“Sejak itu, harga terus berada bawah RM2 hinggalah RM1.90 kg sekarang dan berharap kerajaan dapat melihat masalah ini kerana kami tidak ada sumber rezeki lain, selain hasil jualan getah beku,” katanya ketika ditemui di kebun getahnya semalam.

Katanya, dia dan isteri sempat menikmati harga jualan RM4.70 kg dengan dua kali jualan pada awal Januari tahun lalu, tetapi sekarang terpaksa berpuas hati dengan harga sekadar RM1.90 kg.

“Bagaimanap­un, kami bernasib baik kerana kebun getah ini adalah milik sendiri dan boleh menorehnya tanpa bergantung kepada orang mengambil upah menoreh.

“Setiap tiga hari selepas torehan, saya boleh mengumpul antara 30 dan 40 kg getah beku yang dijual selepas ditolak peratus kandungan air pada getah,” katanya.

Sejak 2013, harga getah beku berada di bawah paras RM2, tetapi ia mula meningkat kepada RM2.50 mulai September 2016.

Harga terus meningkat melepasi RM4 pada Disember 2016 dan mencapai RM4.70 pada awal Januari 2017, tetapi ia hanya bertahan dua minggu, sebelum kembali menurun hingga sekarang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia