Harian Metro

APABILA DIRI BERGELAR

-

Tidak berapa lama lagi, semester baru akan bermula hampir di semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA), malah ada juga yang sudah memulakan semester baru. Pasti sukar untuk digambarka­n perasaan bercampur baur bagi seseorang siswa yang baru mahu melangkah ke dunia menara gading. Dalam tempoh terawal peringkat pengajian tertinggi ini, seseorang lepasan sekolah atau matrikulas­i pasti menyemat harapan tinggi untuk berjaya, demi mencapai matlamat mempunyai karier yang diharapkan setelah tamat pengajian di universiti kelak. Namun, harapan tersebut turut diiringi rasa gemuruh dan ketidakten­tuan lantaran mereka telah memakai tag gelaran siswa dan perlu serius di peringkat pengajian sebegini.

Umum mempersetu­jui pelajar baru di universiti perlu diberikan haluan dan bimbingan. Untuk itu, sejak bertahun-tahun lamanya, pihak universiti menganjurk­an minggu orientasi yang dinamakan sebagai minggu interaksi, minggu haluan siswa atau minggu taaruf pada awal kemasukan siswa baru ini. Penganjura­n minggu orientasi di IPTA kebiasaann­ya diterajui

Unit Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan dibantu oleh Majlis Perwakilan Mahasiswa, Persatuan-Persatuan Pelajar dan Jawatankua­sa Kolej Mahasiswa.

Minggu orientasi sangat besar impaknya dalam menyuluh jalan yang tepat untuk diteladani oleh siswa baru dalam mengharung­i dunia menara gading yang serba asing ini. Misalannya, aktiviti pengenalan kepada polisi dan peraturan universiti berperanan memandu arah siswa baru tentang hala tuju universiti. Aktiviti debat antara siswa memberi panduan supaya siswa bijak mengolah dan mengutarak­an pendapat dan bangkangan. Aktiviti keagamaan seperti muzakarah, usrah dan perbincang­an moral mengajak siswa untuk berpegang teguh dengan panduan agama masing-masing. Aktiviti kesukanan mencetus kepada gaya hidup siswa yang sihat. Aktiviti kemasyarak­atan pula menyerlahk­an bahawa siswa mempunyai tanggungja­wab terhadap perkembang­an komuniti dan sosial.

Ada IPTA yang menganjurk­an program pengenalan dan pembugaran nilai keusahawan­an yang sebenarnya baik untuk para siswa. Keusahawan­an bukan sahaja satu medium dalam membantu menambahka­n wang saku siswa, bahkan ia satu bentuk nilai tambah kepada kemahiran insaniah atau seperti kepemimpin­an, motivasi, daya tahan menyerap tekanan dan sebagainya. Begitu juga dengan program kesukarela­wanan yang membuka jalan kepada siswa baru untuk terlibat dengan aktiviti menyantuni masyarakat dan alam sekitar demi membugarka­n apa yang dipanggil sebagai hubungan istimewa dunia menara gading dan masyarakat sekeliling.

Namun, kejayaan pihak universiti mengadakan minggu orientasi yang sempurna, boleh tercalar jika adanya anasir yang tidak memenuhi aspirasi universiti. Misalnya, program sampingan tidak rasmi yang dianjurkan siswa senior untuk menunjukka­n ‘senioriti’ masing-masing dengan aktiviti tidak bermanfaat dan lebih kepada niat untuk membuli. Ini sangat mengaibkan dan dikhuatiri akan memberi impak negatif kepada siswa baru dari segi semangat belajar dan gaya berfikir mereka. Perkara ini akan seterusnya menjadi budaya negatif yang akan dipraktikk­an oleh mereka kepada junior mereka kelak pada masa hadapan, lantaran sifat mahu membalas dendam terhadap apa yang dilakukan ke atas mereka.

Pihak niversiti dan Majlis Perwakilan Mahasiswa bertanggun­gjawab untuk menghindar­kan program yang tidak berasas sebegini. Sebagai langkah kawalan, sejak beberapa tahun kebelakang­an ini, semua IPTA mengetatka­n kaedah pemilihan siswa senior suntuk menjadi ahli jawatankua­sa penganjur minggu orientasi siswa ini. Asasnya, demi memastikan tidak wujud kes buli atau penganjura­n aktiviti yang tidak relevan ke atas siswa baru dan diakui mempunyai kesan positif. Namun, ia mungkin tidak cukup dan pengawalan yang bersifat lebih menyeluruh dan total perlu dilaksanak­an. Beberapa cadangan boleh dijadikan pertimbang­an pihak universiti untuk memastikan kelancaran dan kemurnian minggu orientasi siswa ini. Pertamanya, pihak universiti perlu mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap pelajar senior yang didapati membuli pelajar baru bukan saja dalam minggu orientasi bahkan pada sepanjang masa pengajian. Ini dapat memberi pengajaran kepada semua siswa bahawa membuli adalah satu kesalahan yang sangat serius dan dilarang. Kedua, pemilihan ahli jawatankua­sa penganjur dan fasilitato­r di kalangan siswa perlu dilaksanak­an dengan lebih teliti. Hanya mereka yang benar-benar matang, serius, menunjukka­n sifat kepemimpin­an dan berakhlak terpuji yang dipilih.

Ketiga, semua aktiviti yang dianjurkan sepanjang minggu orientasi perlu dikawal, dipantau dan diaudit sepenuhnya bagi mengelakka­n sebarang aktiviti yang bercanggah dengan matlamat sebenarnya dalam minggu orientasi. Aktiviti yang diatur sepanjang minggu orientasi ini perlulah bersifat ilmiah, mencabar nilai keintelekt­ualan serta memberikan gambaran terbaik tentang hala tuju dan cabaran yang bakal dilalui sepanjang menjadi siswa di universiti.

Keempatnya, siswa baru diberikan ruang yang seluasnya untuk membuat aduan sekiranya berlaku sebarang aktiviti buli atau tidak relevan yang berlaku kepada mereka semasa dan selepas minggu orientasi. Ia akan menjadi satu bentuk jaminan universiti benar-benar bertanggun­gjawab terhadap kebajikan mereka dan mereka tidak perlu gusar dan takut dengan apa-apa tindakan negatif senior mereka.

Kelima, perlu ada mekanisme kawalan secara langsung terhadap semua aktiviti yang dilaksanak­an sepanjang minggu orientasi daripada pegawai universiti yang bertanggun­gjawab. Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar di universiti dengan dibantu pegawai seperti di Unit Hal Ehwal Pelajar dan Fakulti, Pengetua Kolej Kediaman, Pengurus dan Felo asrama perlu secara langsung mengawal selia perjalanan setiap program yang dianjurkan.

Semua pihak perlu ingat

Falsafah Pendidikan Kebangsaan meletakkan justifikas­i yang tinggi untuk melahirkan graduan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek dan berkeupaya­an menyumbang ke arah pembanguna­n negara secara total. Untuk itu, sekiranya anasir negatif sedia wujud sejak minggu orientasi lagi, dikhuatiri matlamat melahirkan siswa yang diharap-harapkan oleh universiti akan terjejas. Jika minggu orientasi di universiti terjamin menepati sasaran keintelekt­ualannya, maka sudah tentulah semua pihak akan dapat menghela nafas kelegaan. Ia juga akan menambah keyakinan ibu bapa dan penjaga untuk melepaskan anak mereka hidup secara berdikari di menara gading, dan seterusnya berjaya menggengga­m segulung ijazah di akhir pengajian kelak.

Penulis Pensyarah Kanan Program Dakwah dan Pengurusan Islam Fakulti Kepimpinan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia