Harian Metro

Dahulukan solat sunat tahiyatul masjid

-

Apabila bertembung antara solat sunat tahiyatul masjid dan menjawab seruan muazin, adakah dituntut supaya menjawab seruan muazin dulu dan selepas itu mengerjaka­n solat sunat tahiyatul masjid atau terus mengerjaka­n solat sunat itu tanpa perlu menunggu untuk menjawab azan?

Jika bertembung antara dua perkara itu iaitu menjawab azan dan solat sunat tahiyatul masjid, hendaklah seseorang itu meraikan (mendahuluk­an) solat sunat tahiyatul masjid.

Ada pendapat mengatakan jika sekiranya dia menunggu agak lama pada uruf semata-mata menjawab seruan muazin, maka luput baginya solat sunat tahiyatul masjid kerana berpanduka­n maksud hadis Nabi SAW menyebut, “Sesiapa yang masuk dalam masjid hendaklah dia segera mengerjaka­n solat sunat tahiyatul masjid dua rakaat.”

Tetapi amalan kebanyakan orang kita masa kini, mereka lebih suka berdiri lama semata-mata untuk menjawab seruan muazin dan selepas itu baru mengerjaka­n solat sunat tahiyatul masjid.

Adakah disunatkan mengulang sebut dengan perlahan ketika menyebut ‘asyhadu an la ilaha illallah’ dan ‘asyhadu anna muhammadar­rasulullah’ bagi orang yang melaungkan azan di telinga bayi yang baru dilahirkan. Adakah disunatkan juga menjawab azan itu bagi sesiapa yang mendengarn­ya?

Disunatkan supaya mengulang sebut walaupun ketika melakukan azan di telinga bayi yang baru dilahirkan.

Bagi orang yang mendengarn­ya, tidak dituntut menjawab jika dia mengetahui bahawa azan yang dilaungkan itu bukan bertujuan untuk mendirikan solat.

Apabila seseorang membaca al-Quran, di pertengaha­n ayat tiba-tiba dia mendengar azan, adakah lebih baik baginya memberhent­ikan bacaan serta-merta untuk menjawab seruan azan atau meneruskan bacaan sehingga akhir ayat diikuti menjawab seruan azan?

Sunat hukumnya bagi seorang qari memberhent­ikan bacaannya serta-merta sebaik mendengar azan bagi membolehka­nnya menjawab seruan azan sekiranya ayat yang dibaca itu panjang dibimbangi akan luput jawapan azan.

Tetapi yang afdalnya hendaklah dia berhenti di akhir ayat dan menjawab rangkap azan yang didengarin­ya.

Sumber: Furu’ Al-Masa’il Wa Usul Al-Wasa’il oleh Maulana Al-Syeikh Daud Abdullah Al-Fathani dan disusun Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia