Harian Metro

Bukan setakat tujuh emas, 11 pun boleh dapat

- Azlan Muhammad Zain dan Aida Adilah Mat sukan@nstp.com.my

Putrajaya: Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria percaya kontinjen Malaysia perlu meraih lebih daripada tujuh emas, sekiranya mahu berada dalam kelompok 10 terbaik keseluruha­n.

Kedudukan 10 negara terbaik di Sukan Asia dan Komanwel 2018 adalah antara matlamat utama penubuhan Program Podium pada 2016.

Pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Malaysia menduduki tempat ke-14 dengan lima emas, manakala pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, kontinjen negara gagal berada dalam 10 terbaik apabila berada di kedudukan ke-12 dengan tujuh emas.

“Sudah pasti apabila bercakap mengenai kedudukan 10 terbaik, ia perlu melangkaui sasaran yang ditetapkan.

“Bagaimanap­un, saya percaya dengan keadaan di Jakarta dan Palembang selain persiapan yang dilakukan, sasaran tujuh emas tidak akan memberi tekanan kepada atlet.

“Seperti menteri maklumkan, mereka mampu capai 11 emas sekiranya mampu mencapai potensi sebenar,” katanya.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumka­n sasaran rasmi tujuh emas di Sukan Asia 2019, namun jumlah itu masih boleh meningkat sehingga mencecah 11 emas.

Sementara itu, ketua kontinjen negara, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi menjelaska­n, banyak sukan mampu menyumbang emas, namun sebaliknya berlaku disebabkan faktor kecederaan.

“Ada sukan disebabkan faktor kecederaan memungkink­an kita tidak dapat meraih emas seperti wushu dan pelayaran.

“Bagaimanap­un saya berharap semua berjalan lancar dan sasaran dapat dipenuhi namun kebimbanga­n utama adalah kecederaan pada tempoh ini,” jelasnya.

Pada masa yang sama, beliau menjelaska­n semua atlet negara akan menjalani ujian doping pada 14 Ogos nanti dan keputusan akan diperoleh secara berperingk­at.

 ?? Norza Zakaria ?? Seperti menteri maklumkan, mereka mampu capai 11 emas sekiranya mampu mencapai potensi sebenar”
Norza Zakaria Seperti menteri maklumkan, mereka mampu capai 11 emas sekiranya mampu mencapai potensi sebenar”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia