Harian Metro

Aksi panas jentera pecut terbantut

-

Kuala Lumpur: Sekumpulan samseng jalan raya sengaja membuat ‘pertunjuka­n amal’ melalui aksi wheelie dan Superman bagi menarik perhatian penonton sebelum perlumbaan haram bermula.

Dalam kejadian sekitar jam 11 malam kelmarin, seramai lapan mat rempit termasuk pelajar di sebuah sekolah menengah di sini, ditahan polis sebelum sempat berlumba di Lebuhraya Damansara-Ulu Kelang (DUKE) di sini.

Mereka terlebih dahulu dilihat menguji kekuatan jentera masing-masing selain memanaskan enjin motosikal digunakan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkua­saan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkifli Yahya berkata, kumpulan remaja berusia 15 hingga 25 tahun itu menjadikan lebuh raya berkenaan sebagai litar popular untuk berlumba.

“Bagaimanap­un gelagat kumpulan remaja terbabit tidak bertahan lama selepas sepasukan pegawai dan anggota JSPT berjaya menahan mereka.

“Siasatan ke atas kumpulan remaja terbabit mendapati mereka mengaku gemar berlumba di kawasan itu,” katanya semalam.

Zulkifli berkata, dalam operasi berkenaan pihaknya turut mengeluark­an 165 saman terhadap pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan.

“Polis juga turut memeriksa 340 pengguna jalan raya, kebanyakan individu melakukan kesalahan tidak mempunyai lesen memandu.

“Selain itu, kesalahan lain yang dikesan ialah tiada cermin sisi, lesen kenderaan motor tamat tempoh dan tidak mempamer pelekat L dan P pada kenderaan,” katanya.

Katanya, semua remaja yang ditahan dibawa ke Balai Polis Trafik Tun HS Lee untuk siasatan lanjut.

“Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

“Tindakan ke atas penunggang motosikal yang gemar menunggang secara melulu dan kenderaan yang diubahsuai akan dijalankan secara berterusan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia