Harian Metro

Tangguh dulu roboh masjid

-

Weizhou (China): Pihak berkuasa di wilayah utara China menangguhk­an operasi merobohkan sebuah masjid kelmarin selepas ribuan penduduk mengadakan bantahan untuk menghalang tindakan berkenaan.

Di seluruh China, pihak berkuasa cuba mengehadka­n kebebasan beragama untuk penganut agama Islam dalam satu usaha memastikan penduduk patuh dengan dasar Parti Komunis.

Ribuan penunjuk perasaan mula berhimpun pada Khamis lalu beberapa hari sebelum operasi merobohkan masjid besar Weizhou di wilayah Ningxia, kata seorang penduduk.

Beberapa video yang dimuat naik di media sosial beberapa hari lalu menunjukka­n penunjuk perasaan berkumpul di hadapan masjid dan anggota polis antirusuha­n bersedia di lokasi berkenaan.

Beberapa penunjuk perasaan dilihat memegang bendera China dan duduk di tangga serta pekarangan masjid sebelum menunaikan solat.

“Kerajaan mendakwa masjid ini adalah bangunan haram tetapi sebenarnya tidak. Masjid ini mempunyai sejarah ratusan tahun,” kata seorang pemilik restoran yang dikenali sebagai Ma.

Seorang lagi penduduk memberitah­u, menjelang tengah hari kelmarin, seorang pegawai tempatan membacakan satu notis yang menyatakan kerajaan menangguhk­an operasi merobohkan masjid itu.

Selepas notis itu dibacakan, ramai yang menyertai bantahan itu bersurai.

Beberapa penduduk memberitah­u, ramai orang Islam dari wilayah lain datang ke bandar itu untuk menyatakan sokongan kepada penduduk di situ dan membawa makanan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia