Harian Metro

Saya belum 100 peratus memuncak : Azizulhasn­i

-

Biarpun meraih dua pingat emas dan satu gangsa pada kejohanan Piala Trek China UCI 2018 di Taiyuan bulan lalu, jaguh berbasikal trek negara Azizulhasn­i Awang menjelaska­n dia masih belum berada di kemuncak prestasi sebenarnya.

“Pada kejohanan sebelum ini, saya belum 100 peratus memuncak. Itu sebenarnya perkara yang bagus.

“Kami balik ke sini menjalani latihan ‘senjata rahsia’ yakni latihan peringkat akhir yang mana kami memberi tumpuan aspek kepantasan,” katanya selepas menyertai perlumbaan berbasikal MEX Ride 2018, semalam.

Katanya, dengan berbaki lebih kurang dua minggu menjelang perlumbaan, latihan peringkat akhir di Velodrom Nasional, Nilai diharap bakal memberi peningkata­n baginya dalam persiapan menghadapi temasya itu.

“Saya harap dalam baki masa yang ada dan pergi ke Jakarta nanti, saya akan berada dalam prestasi terbaik untuk memenangi sekurang-kurangnya satu emas dulu,” katanya yang akan bertolak ke Jakarta pada Aidiladha, 22 Ogos ini.

Pelumba bergelar The Pocket Rocketman itu berkata, motivasiny­a untuk membawa emas untuk negara adalah tinggi dengan kondisi badannya berada di tahap terbaik tanpa gangguan lain termasuk masalah kesihatan.

Atlet bimbingan John Beasley itu yang terlepas membawa pulang pingat pada Sukan Asia Incheon empat tahun lalu, akan menyertai acara keirin, pecut dan pecut berpasukan pada temasya di Jakarta.

Terdahulu, Azizulhasn­i bersama Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddi­n Idris Shah dan Pengarah Urusan Kumpulan Maju, Faiq Abu Sahid menyertai kayuhan VIP sejauh 14 kilometer dalam perlumbaan yang diadakan di MEX.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia