Harian Metro

Bayangan emas

- Saiful Affendy Sapran saifulaffe­ndy@nstp.com.my

„ Skuad memanah negara optimis raih pingat, mahu pecah dominasi Korea Selatan

Penampilan skuad memanah pada saingan Sukan Asia di Jakarta, Indonesia kali ini dilihat lebih meyakinkan selepas mengambil kira prestasi semasa mereka.

Tidak dinafikan negara seperti Korea Selatan dan Jepun masih kekal menjadi kuasa Asia dengan sering mendominas­i acara itu.

Namun usaha Malaysia untuk memungut pingat terutama menerusi acara recurve berpasukan lelaki dilihat sudah tidak mustahil lagi dan ia dibuktikan pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Ketika itu, gandingan Atiq Bazil Bakri, Haziq Kamaruddin dan Khairul Anuar Mohamad berjaya meraih pingat perak, sekali gus pingat pertama negara menerusi sukan memanah.

Edisi kali ini juga bukan sesuatu yang mustahil untuk skuad memanah negara meraih pingat.

‘Petanda’ itu diberikan oleh gandingan Haziq, Khairul dan Akmal Nor Hasrin yang berjaya meraih gangsa pada siri ketiga kejohanan memanah Piala Dunia di Amerika Syarikat, Jun lalu.

Kejayaan itu pasti memberi suntikan semangat tinggi kepada mereka untuk cuba memecah dominasi kuasa besar di Sukan Asia.

Malah ketua jurulatih memanah negara, Lee Jae Hyung sebelum ini turut menyatakan acara recurve berpasukan lelaki diharap mampu sekali lagi mara ke final.

Manakala Setiausaha Kehormat Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Datuk Abdul Hamid Hasan berharap atlet memanah negara mampu memberikan yang terbaik pada edisi kali ini.

“Pada 2014 kami berjaya meraih pingat perak. Harap pada edisi kali ini kami juga mampu menyumbang pingat untuk kontinjen negara.

“Tidak dinafikan pasukan yang beraksi di Sukan Asia adalah antara yang terbaik dalam ranking dunia, tapi saya tetap yakin dengan kemampuan atlet negara,” katanya.

Ketika tumpuan terarah kepada acara recurve berpasukan lelaki, kemampuan pemanah lain juga tidak harus diketepika­n kerana semua dilihat berpeluang untuk meraih pingat.

 ??  ?? AKSI Khairul (tengah), Atiq (kanan) dan Haziq pada Sukan Asia di Incheon empat tahun lalu.
AKSI Khairul (tengah), Atiq (kanan) dan Haziq pada Sukan Asia di Incheon empat tahun lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia